YUSRI BANGGA USAHA KERAS PEMAIN

August 30, 2021



Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah mengharapkan kemenangan pertama yang diraih ke atas Kelantan United FC semalam menyuntik motivasi tinggi untuk pasukan terus berjuang dalam baki dua lagi aksi Liga Premier.

Kemenangan tipis 1-0 ini cukup bermakna selepas bergelut dalam 17 perlawanan terakhir untuk mereka berada di tangga tercorot dan Yusri tetap berbangga dengan kerja keras anak buahnya yang tidak berputus untuk cuba meraih mata buat pasukan.

Jelasnya, meskipun hanya berbaki dua perlawanan sahaja lagi, tetapi itu tidak menghalang barisan pemain untuk terus berjuang sehingga ke perlawanan terakhir dan mengharapkan mereka mampu untuk menghadiahkan mata dalam aksi akan datang menentang Perak FC II dan Kuching City FC.

“Syukur atas kemenangan pertama untuk musim ini dan kita datang ke sini dengan sasaran untuk tidak bolos banyak gol kerana semua tahu dalam perlawanan terdahulu, kita selalu tewas dengan jaringan besar.

“Perjalanan untuk pusingan kedua liga ini saya nampak banyak peningkatan, tidaklah terlalu bagus sangat tetapi saya boleh nampak pemain ambil peluang yang ada untuk jaringkan gol dan ianya hadir betul-betul dalam keadaan yang amat kami perlukan.

“Baki perlawanan ini, kami akan cuba mengekang kesilapan dan saya harap kemenangan ini dapat beri lebih motivasi untuk mereka berjuang kerana sebelum ini mereka tidak mampu untuk mengatakan yang mereka boleh menang, tetapi kali ini kita dapat menang”, jelasnya.

Dalam pada itu, pengendali Kelantan United, Nazrulerwan Makmor mengakui terkejut dengan aksi yang ditampilkan oleh anak buahnya sambil menyifatkan mereka tidak berdisiplin di atas padang yang membolehkan lawan mampu meledak jaringan.

Mereka seolah-olah memandang rendah atas kemampuan skuad kendalian Yusri Che Lah itu sekali gus menghukum pasukan di laman sendiri untuk meraih kekalahan kali ketiga berturut-turut.

“Saya terkejut, pemain saya tidak berdisiplin di atas padang terutamanya di barisan pertahanan, jadi inilah yang kami dapat.

“Pemain-pemain saya memandang rendah terhadap skuad Projek FAM-MSN dan kita sepatutnya dah tahu yang mereka memang akan bermain lebih dari 100 peratus jadi inilah akibat yang kami dapat.

“Saya akan buat rombakan kecil dan akan ada beberapa pemain yang akan diketepikan menjelang aksi menentang Kuching City nanti”, jelasnya.

Kekalahan Kelantan United semalam meletakkan mereka di kedudukan kelapan Liga Premier manakala Skuad Projek FAM-MSN masih lagi di tangga tercorot dengan enam mata.

Satu lagi aksi berlangsung semalam turut menyaksikan Johor Darul Ta’zim II menang 3-2 ke atas Terengganu FC II.