WORLD LEAGUES FORUM SOKONG USAHA MFL

May 4, 2019



Setiausaha Agung World Leagues Forum (WLF), Jerome Perlemuter berharap Malaysian Football League (MFL) meneruskan perancangan dalam usaha mengangkat Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Perlemuter mengakui, bukan mudah untuk mengendalikan sesebuah liga dan ada ketika, satu keputusan berat perlu dibuat bagi memastikan perjalanan liga itu terus berada di tahap yang lebih profesional.

Baginya, mana-mana liga di seluruh dunia sekalipun sering berdepan dengan reaksi negatif daripada sesetengah pasukan yang tidak bersetuju dengan beberapa keputusan dibuat.

Apa yang penting, badan pentadbir termasuklah MFL sendiri perlu bijak untuk menangani situasi seumpama itu.

“Tujuan utama liga ditubuhkan adalah untuk memastikan kelancaran kesemua pasukan yang bertanding dan perlu berdepan dengan pelbagai situasi termasuklah ketika memutuskan sesuatu keputusan yang berat.

“Mungkin akan ada sesetengah pasukan tidak akan berpuas hati dengan mana-mana keputusan yang dibuat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pasukan mereka sendiri dan itulah tugas utama badan pentadbir untuk menangani situasi itu.

“Tugas utama MFL bukanlah untuk memuaskan hati semua pihak. Kadang-kala kita oleh bertoleransi, tetapi kadang kala kita juga perlu tegas dalam membuat sesuatu keputusan.

“Perlu diingat dua perkara yang sentiasa ditekankan oleh mana-mana penganjur liga ialah menetapkan peraturan yang boleh dipatuhi semua pasukan dan meningkatkan jumlah pendapatan liga itu sendiri untuk dinikmati semua pasukan,” katanya yang ditemui pada World Football Summit Asia, baru-baru ini di Kuala Lumpur.

MFL merupakan badan pentadbir pertama daripada liga di Asia Tenggara yang diterima masuk menjadi ahli WLF dan merupakan liga keempat dari negara Asia selepas Liga Jepun, Qatar dan Arab Saudi.

WLF mendapat kerjasama penuh daripada Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta menjadi perantara FIFA dan liga-liga profesional terpilih di dunia untuk memastikan perjalanan sesebuah liga bergerak secara profesional dengan lebih berkesan.

Selain itu, Perlemuter memberikan pujian kepada Liga Malaysia di bawah kelolaan MFL yang disifatkan semakin berkembang pesat serta kian diperhatikan oleh kebanyakan negara lain di dunia.

“Apa yang dibuat oleh MFL terhadap Liga Malaysia dalam tempoh dua tahun ini cukup menakjubkan seperti peningkatan penonton dan mutu penganjuran yang kian ke arah lebih profesional.

“Apa yang dilakukan oleh MFL sebenarnya mendapat perhatian daripada liga luar malah Liga Malaysia semakin dikenali susulan banyak perubahan mendadak berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya.