USAHA KBS DIHARAP MEMBUAHKAN HASIL POSITIF

February 5, 2021



Pemerhati sukan bola sepak, Mohd Sadek Mustafa positif usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membentangkan permohonan kelonggaran bagi Sektor Sukan dan Rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan membuahkan hasil yang terbaik untuk semua pihak.
 
Jelasnya, sama seperti sukan lain, sukan bola sepak turut sama mengharapkan kelonggaran dapat diberi kepada pasukan-pasukan untuk melakukan persiapan menjelang sepak mula Liga Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mac depan.
 
Berdepan pra musim yang begitu mencabar, Sadek merasakan semua pasukan Liga Malaysia perlu diberi peluang untuk sekurang-kurangnya membentuk skuad terbaik dalam latihan sebelum mereka memulakan aksi bagi memastikan perlawanan kompetitif dapat berlangsung dengan lancar.
 
Apa jua cara bagaimana Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pendekatan yang akan diambil untuk memastikan sukan ini dapat beroperasi dengan baik, beliau percaya semua yang terlibat akan memberikan kerjasama maksima untuk mematuhi segala yang diperuntukan agar tiada perkara tidak diingini berlaku.
 
“Sebenarnya kalau ikutkan Liga Malaysia yang berlangsung pada bulan Mac nanti, memang pasukan-pasukan sepatutnya sudah memulakan latihan bersama daripada sekarang.
 
“Sekurang-kurangnya mereka dapat dibenarkan berlatih untuk dua sesi dalam keadah SOP yang dibenarkan sepertimana yang mereka lakukan pada musim lalu.
 
“Sekarang apa yang saya nampak, usaha yang dilakukan oleh KBS bersama pihak-pihak lain begitu positif untuk mereka memastikan sektor sukan ini tidak ketinggalan dan dapat diteruskan juga dengan lebih baik mengikut SOP yang ditetapkan.
 
“Jadi diharapkan keputusan yang positif akan dicapai kerana saya percaya pihak kerajaan juga semestinya akan memikirkan langkah yang terbaik untuk kebaikan semua pihak dalam tempoh kita berdepan pandemik ini”, katanya.
 
Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam tidak menolak semua pasukan perlu berjuang dengan masa untuk memastikan persiapan mereka berjalan dengan baik sebelum saingan bermula pada 5 Mac.
 
Beliau merasakan pasukan perlu melakukan pengubahsuaian daripada aspek latihan bersesuaian dengan masa terhad yang ada agar pemain-pemain dapat capai keserasian segera di atas padang.
 
“Ia memang bukan tugas mudah untuk mereka melakukan persediaan dengan jangka masa yang ada ketika ini, tetapi kita tiada pilihan dan pasukan perlu melakukan sesuatu.
 
“Mereka kena bersedia dengan pemain-pemain untuk mendapatkan kecergasan dalam perlawanan selain tahap keserasian yang lebih baik dalam tempoh masa yang ada ini.
 
“Jadi kerjasama pasukan dan juga teknikal pasukan serta barisan kejurulatihan amat penting ketika ini untuk mereka menyediakan pelan-pelan sepatutnya sebaik sahaja keputusan dibuat berhubung usaha yang telah dibentangkan oleh KBS”, tambahnya.
 
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan pihaknya telah membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor Sukan dan Rekreasi dalam tempoh PKP di Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.
 
Jelasnya, pembentangan tersebut termasuklah cadangan dan pendekatan serta SOP kelonggaran yang menyentuh keseimbangan antara kelangsungan ekonomi dan kesihatan awam.
 
Ketika ini pihaknya bersama MKN sedang meneliti beberapa perkara lagi berkenaan SOP yang akan diambil dan keputusan muktamad akan diketahui dalam masa terdekat.