[UNIFI LIGA SUPER MALAYSIA 2018] NIK AZLI GEMBIRA DAPAT BANTU TAMATKAN BADI KEKALAHAN KELANTAN

June 7, 2018



Penyerang Kelantan, Nik Azli Nik Alias menyatakan rasa gembira selepas Kelantan akhirnya menemui kemenangan selepas empat kekalahan berturut-turut dalam saingan pusingan kedua unifi Liga Super Malaysia 2018.

Pemain berusia 21 tahun itu menjadi tonggak penting menentang Kedah semalam apabila mencetak nama selaku penjaring gol penyamaan serta turut membantu rakan sepasukan menghasilkan gol kemenangan Kelantan yang berkesudahan 2-1 di Stadium Darul Aman.

“Saya gembira dengan keputusan ini (lawan Kedah) selepas sudah lama Kelantan tidak peroleh kemenangan, saya dapat bantu pasukan saya.

""

Beliau yang dimasukkan sebagai pemain gantian awal babak kedua ternyata memberi impak kepada skuad The Red Warrior yang sememangnya inginkan kebangkitan selepas beberapa siri masalah dalaman serta prestasi kurang baik pasukan dari pantai timur tersebut.

Disoal berkenaan perubahan yang berlaku selepas ketua jurulatih Kelantan Yusri Che Lah mengganti Fajer Ibrahim yang meletakkan jawatan, beliau akui taktikal kedua-dua jurulatih mempunyai perbezaan tersendiri.

“Dengan Fajer beliau mahu pasukan menekan pihak lawan dengan lebih tinggi manakala Yusri lebih mengambil pendekatan untuk bertahan dan menunggu peluang untuk menyerang balas dimana ia lebih memberi masa pasukan untuk berehat.

""

Kelantan bakal bertemu Kedah untuk aksi ulangan Jumaat ini namun perlawanan akan berlangsung sekali lagi di Stadium Darul Aman selepas pindaan venue diminta pihak pengurusan Kelantan.

Nik Azli akui situasi ini memberi kelebihan buat pihak lawan namun tetap optimis beliau dan rakan pasukannya mampu mengulangi aksi sepertimana dilakukan dalam aksi pertama semalam.

“Sudah tentu saya situasi ini mengurangkan kelebihan buat kami tetapi hasil kemenangan semalam, pasukan merasa lebih yakin untuk menampilkan aksi seperti semalam,” kata beliau.

Kelantan kini masih di tangga tercorot unifi Liga Super Malaysia 2018 dengan sebelas mata.