[UNIFI LIGA SUPER MALAYSIA 2018] LIRIDON BERHAJAT MAHU JULANG PIALA LIGA SUPER

June 1, 2018



Pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi berkata beliau mempunyai impian peribadi untuk menjulang piala unifi Liga Super Malaysia 2018 dan akan memberikan segala-galanya buat Kedah agar impian tersebut tercapai.

Pemain daripada Kosovo itu berkata walaupun ia agak sukar tetapi tidak mustahil jika pasukannya meneruskan prestasi baik ketika ini untuk baki perlawanan yang masih tinggal.

“Saya secara peribadi telah memenangi kesemua piala kecuali piala Liga Super jadi ianya impian saya untuk memenangi piala tersebut musim ini," kata beliau.

""

"Kedah bermula buruk tetapi sekarang semakin bagus dan pasukan teratas akan menentang sesama sendiri nanti seterusnya akan menyebabkan salah satu pasukan kehilangan mata jadi ini peluang terbaik kami.

Kedah belum pernah kalah dalam tujuh perlawanan terakhir dengan empat kemenangan dan tiga seri dengan skuad Helang Merah dalam misi melebarkan lagi rekod tersebut apabila bakal melayani kunjungan Melaka di Stadium Darul Aman malam ini.

Liridon menegaskan pasukannya akan turun ke halaman sendiri dengan hajat mengutip tiga mata penuh untuk mengukuhkan lagi kedudukan saingan liga.

""

“Semuanya bagus kami berlatih dengan baik dan kami sudah bersedia untuk malam ini.

“Kita akan bermain dengan keyakinan tinggi tanpa mengira siapa pun lawan kami, Kedah akan menentang mereka dengan keyakinan dan komitment seratus peratus ketika di atas padang.”

Kedah kini di kedudukan ke lima, lapan mata dibelakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim dan berkongsi 21 mata bersama Terengganu FC dan Pahang yang masing-masing di kedudukan ke empat dan ke tiga unifi Liga Super Malaysia 2018.