unifi eMFL LIGA SUPER TAWAR HADIAH RM50,000 BAGI SAINGAN TAHUN KETIGA DALAM PENYERTAAN EA SPORTS™️ FIFA 22 GLOBAL SERIES

April 15, 2022



Malaysian Football League (MFL) mengumumkan kejohanan liga bola sepak elektronik, eMFL kembali membuka tirai buat tahun ketiga berturut-turut sejak diperkenalkan pada 2020.

Tahun ini, eMFL yang menjalin kerjasama dengan Gamesbond International, bakal menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM50,000.

Dua peringkat diadakan iaitu format liga dan kalah mati di mana format pemilihan pemain yang baharu, pasukan akan diberikan hak untuk memilih pemain melalui pemilihan terus atau melalui pusingan kelayakan.

Kejohanan kali ini menggunakan mod FIFA Ultimate Team dan format duo diadakan yang menyaksikan setiap pasukan akan menghantar dua pemain.

Satu slot pemain dari pasukan pemenang bakal layak bertanding di FGS Global Series Playoff dan kejohanan ini juga menyaksikan MFL menjadi satu-satunya yang memiliki liga elektronik dalam Asia Tenggara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, beliau optimis eMFL bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam sukan elektronik sebaliknya ia mampu menjadi platform komersial yang cukup ideal.

Katanya, pelaksanaan eMFL buat kali ketiga berturut-turut ini telah membuktikan potensi kejohanan liga bola sepak elektronik ini dan Stuart menaruh keyakinan eMFL mampu lebih berkembang di masa akan datang.

“Saya berbangga kerana kejohanan eMFL kembali membuka tirai bagi mewarnai kancah sukan elektronik tempatan tidak lama lagi.

“Saya percaya bahawa eMFL bakal menjadi satu produk yang cukup baik daripada aspek kualiti serta komersial di mana semua tahu eMFL kini sedang mengecapi salah satu proses terbaik dalam sejarah sukan bola sepak elektronik.

“Buktinya adalah penganjuran eMFL buat tahun ketiga berturut-berturut dan ini adalah petanda jelas mengapa eMFL terus berupaya menarik minat orang ramai khususnya pencinta sukan bola sepak elektronik yang amat ternanti-nantikan kejohanan ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Penyokong boleh menikmati siaran langsung pemain profesional eMFL yang dijangka bakal beraksi menggunakan konsol PS5 dan platform FIFA 22 di laman Facebook rasmi eMFL, MFL dan Gamesbond.