UCAPAN PRESIDEN MFL MENYAMBUT BULAN RAMADHAN

April 23, 2020



Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, mewakili barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan Al Mubarak kepada Rakan Kongsi MFL, penaja-penaja, warga kerja MFL, penyokong bola sepak tempatan dan seluruh rakyat Malaysia beragama Islam.

“Pertama saya ingin mengambil peluang untuk memanjatkan rasa syukur kerana dengan izinNya kita masih diberikan kesempatan untuk menyambut bulan Ramadan pada Jumaat, 24 April 2020. 

“Bagaimanapun, kita semua sedia maklum bahawa persiapan kita untuk menyambut Ramadan tahun ini tidak sama jika dibandingkan tahun lalu memandangkan kita semua sedang giat mencegah dan membanteras pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.

“Namun kita semua haruslah sentiasa mengingati bahawa kedatangan Ramadan bulan seribu rahmat setiap tahun amat di tunggu-tunggu.

“Ini kerana di bulan ini, Allah SWT mengurniakan pelbagai rahmatnya seperti sabda Rasulullah S.A.W “Apabila tiba Ramadan, telah dibuka pintu-pintu syurga, telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan”, hadis riwayat Al-Bukhari : 3277, Muslim : 1079. 

“Justeru, marilah kita sama-sama merebut peluang dengan kemunculan bulan Ramadan yang barakah untuk meringankan tangan memberi sumbangan dan memperbanyakkan amal jariah.

“Akhir kata daripada saya, matahari berzikir, angin bertasbih dan pepohonan memuji keagunganNYA.

“Semua menyambut datangnya malam seribu bulan. Selamat datang Ramadhan, selamat beribadah puasa. Mohon maaf zahir dan batin kepada semua rakyat Malaysia beragama Islam.”