TOMAS TRUCHA SELESA DI KELANTAN UNITED

January 19, 2023



Ketua jurulatih Kelantan United FC, Tomas Trucha tidak mengambil masa lama untuk mengenali para pemainnya dengan lebih dekat apabila dilantik sebagai pengendali baharu pasukan musim ini.

Bekas pengendali Penang FC ini mengakui selama dua tahun beliau berada di Malaysia, pelbagai karakter pemain yang telah dikenali dan kini bersama Kelantan United, beliau mahu mencipta keserasian terbaik sebelum sepak mula liga.

Apa yang pasti, Trucha cukup teruja kerana masih diberi peluang untuk terus berkhidmat di pentas Liga Malaysia apatah lagi dengan penstrukturan liga yang akan menyaksikan cabaran lebih sukar kali ini.

Baginya, banyak yang telah dipelajari ketika membimbing Penang sebelum ini dan sudah tentu, kehadirannya ke Kelantan United adalah untuk memberikan aura baharu kepada pasukan ini dalam mencari kemenangan berterusan.

“Saya tidak pernah meninggalkan Malaysia sejak kali terakhir bersama Penang pertengahan musim lalu dan saya gembira penantian saya di sini membuahkan hasil apabila dapat kembali mengendalikan pasukan.

“Yang penting adalah saya dapat bersama pemain-pemain dan dapat bersaing di pentas Liga Super yang bagi saya liga di sini cukup baik dan dengan penstrukturan baharu, saya ingin menjadi sebahagian daripada sejarah itu nanti.

“Saya pun dah berada di sini dua tahun dan saya boleh katakan saya dah kenal pemain-pemain tempatan hampir 90 peratus.

“Ada yang saya kenal dari Liga Premier juga, dari Penang dan dari pasukan lawan sebelum ini, jadi saya boleh katakan tiada masalah untuk mendekati pemain-pemain ini.

“Yang penting adalah saya kena segera cipta keserasian antara pemain-pemain dan bagaimana untuk mereka mengikuti perancangan yang dibuat nanti”, jelasnya.

Kelantan United akan mengharungi beberapa perlawanan persahabatan di Lembah Klang pada minggu hadapan selain turut merancang untuk mengadakan pertembungan dengan kelab dari Thailand.

Tetapi, mereka akan menghadapi aksi persahabatan pertama terlebih dahulu pada Sabtu ini menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Muhammad IV.

“Kelantan United musim ini lebih berbeza sebab kita ada pemain lama juga macam Indra Putra Mahyuddin dan ada pemain muda.

“Karakter dan falsafah pasukan juga lebih berbeza kali ini dan saya gembira dengan suasana dalam pasukan sekarang.

“Kami akan ke Lembah Klang pada minggu hadapan dan sepatutnya akan ada tiga aksi persahabatan, selepas itu akan cuba mengaturkan perlawanan bersama kelab di Thailand pula”, katanya.

Kredit gambar: Kelantan United FC