TINDAKAN TEGAS BAGI PASUKAN YANG TIDAK MEMATUHI PERATURAN

January 11, 2018



Pihak FMLLP sentiasa berhubung dengan setiap pasukan dan berusaha untuk membantu sebanyak yang boleh termasuk pendaftaran tahunan untuk setiap pasukan pada awal musim. Ini juga termasuk deklarasi gaji yang telah dibayar termasuk KWSP, PERKESO dan cukai.

Kami faham setiap pasukan telah memandang serius di atas perkara ini sekarang kerana telah melihat tindakan yang telah diambil sebelum ini. Demi kemajuan, kita tidak boleh memasuki musim baharu tanpa dokumen yang diperlukan. Tindakan telah diambil terhadap pasukan yang gagal melengkapkan dokumen ini pada tahun lepas dan FMLLP telah dikritik oleh segelintir pihak sebab mengenakan tindakan yang dianggap terlalu keras.

Untuk musim 2018 ini, pihak sekretariat FMLLP akan mencadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah bahawa;

  1. Pasukan yang tidak melengkapkan dokumen yang diperlukan akan hanya menerima SEPARUH pengagihan dana hak penyiaran dan tajaan tahunan.
  2. Pasukan yang tidak mengemukakan dokumen pendaftaran pada 31 Mac 2018 akan dihukum dengan pemotongan mata dan sekatan perpindahan.
  3. Sekiranya pasukan gagal untuk mendapatkan lesen kelab mereka untuk 2019 (tarikh tutup Jun 2018) maka akan diberi hukuman berdasarkan pasukan tanpa lesen.

Bagi pasukan yang telah dikenakan hukuman bagi perkara yang sama sebelum ini;

  1. Tiada pengagihan dana tahunan akan diberikan jika memulakan musim dengan dokumen yang tidak lengkap.
  2. Jika dokumen masih tidak lengkap pada 31 Mac 2018, sekatan perpindahan akan dikenakan serta pemotongan mata.
  3. Sekiranya pasukan gagal mendapatkan lesen kelab disebabkan hutang tertunggak maka penamatan perjanjian perkongsian akan berkuatkuasa pada November 2018. Oleh itu, ianya akan menjadi musim terakhir bagi pasukan terbabit menyertai dalam dua peringkat tertinggi liga bola sepak di Malaysia.

Kita sekarang sedang menuju ke era yang lebih mantap dengan pengagihan hak siaran dan tajaan yang amat besar dibawah kepimpinan DYAM Tunku Ismail. Ketidakprihatinan dan salah urus serta keangkuhan untuk menegakkan kejahilan ini tidak boleh lagi menjadi sebahagian daripada masa depan bola sepak Malaysia.

Ramai yang bertanyakan mengapa tidak dibuang sahaja pasukan yang tidak membayar dengan kadar segera, tetapi kita harus memberi peluang kepada pasukan untuk mereka berubah menjadi yang lebih baik. Ini adalah kerana sesebuah pasukan bukan sahaja tentang pengurusan, ia juga mengenai penyokong dan komponen yang lain. Bagi pengurusan yang tidak prihatin, adalah sangat tidak wajar berfikir jika tidak membuat pembayaran atau tidak mematuhi peraturan hanya memberi kesan kepada diri mereka sendiri. Sikap ini yang menjadi penghalang utama dalam kemajuan.

Jika Ahli Lembaga Pengarah FMLLP bersetuju, pihak sekretariat FMLLP akan mendedahkan senarai pasukan yang gagal mematuhi peraturan ini pada 5 Februari 2018. Sekali lagi kami tegaskan, ini juga merupakan peluang untuk mereka supaya dapat menguruskan diri dengan lebih baik serta akur dengan peraturan yang membawa kemajuan ini.
#FootballMalaysia
#TransformingMalaysianFootball