TFC II ENGGAN SELESA BERADA DI TAKHTA LIGA

August 4, 2021



Ketua jurulatih Terengganu FC II, Badrul Afzan Razali enggan anak buah berasa selesa selepas berada di takhta Liga Premier ketika ini kerana percaya lawan akan terus memberi tentangan sengit bagi menggugat kedudukan mereka.

TFC II berjaya merampas kedudukan teratas selepas menewaskan Sarawak United FC dengan keputusan 1-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Bagi Badrul, menentang Sarawak United merupakan perlawanan yang paling sukar dan perkara utama yang ditekankan kepada anak buahnya agar mereka berjuang berhabis-habisan untuk memastikan tiga mata berharga menjadi milik pasukan.

Dan ternyata, jaringan penalti daripada penyerang, Jordan Mintah pada minit ke-19 selain keutuhan benteng pertahanan tuan rumah menafikan hasrat Sarawak United untuk mencari gol penyamaan.

“Saya bersyukur atas kemenangan berharga ini walaupun kita akui pemain-pemain saya bermain dengan bermati-matian untuk mendapatkan tiga mata.

“Bukan mudah nak lawan Sarawak United dan bertemu mereka paling sukar, jadi saya ingatkan kepada pemain bahawa mereka perlu anggap perlawanan ini seperti final, jadi kena menang.

“Dan semua berpuas hati dengan kemenangan ini, cuma kita kehilangan Jordan yang cedera, tangan dia ada terkehel, jadi kena tunggu dulu macam mana keadaannya nanti.

“Tetapi, sekarang ini kita kena sedar apabila berada di atas, mana-mana pasukan akan cuba tewaskan kita, jadi kena sentiasa waspada dan tidak boleh selesa”, katanya.

Dalam pada itu, pengendali Sarawak United FC, E. Elavarasan menyifatkan peluang masih ada untuk kembali mengejar takhta liga dengan baki perlawanan yang masih ada.

Apa yang penting, pasukan perlu mencari semula kemenangan yang berharga bagi memperbaiki kedudukan agar tidak terus tercicir mata.

“Apabila TFC mendapat gol pada babak pertama, kita cuba menyamakan kedudukan, tetapi serangan kita tak menjadi.

“Malah, pertahanan mereka juga kuat dan kami cuba untuk mencari gol tetapi tidak berhasil, jadi kita akan perbaiki kesilapan ini untuk aksi-aksi akan datang”, katanya.

Tiga lagi perlawanan berlangsung pada hari ini membabitkan Kelantan United FC menentang Selangor FC 2 di sebelah petang manakala aksi antara Skuad Projek FAM-MSN dan Negeri Sembilan FC serta Perak FC II melawan Johor Darul Ta’zim II akan berlangsung pada malam ini.