TEKANAN BUAT SRI PAHANG, PENANG

April 21, 2022



Tanpa sebarang kemenangan sejak Liga Super bermula 4 Mac lalu, pasti meletakkan Sri Pahang FC dan Penang FC berada di tahap tekanan tertinggi apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Menurut pemain tengah Sri Pahang, David Rowley, dia menjangkakan sama ada pasukannya atau lawan pasti akan beraksi bermati-matian bagi meraih kemenangan.

Jelasnya,semangat rakan sepasukannya kini begitu membara dalam usaha menamatkan kemarau kemenangan selepas tiga perlawanan.

“Kedua-dua pasukan dalam situasi terdesak bagi mencari kemenangan pertama pada musim ini dan saya jangkakan aksi sengit bakal terjadi di Darul Makmur.

“Saya masih menghormati Penang FC, yang merupakan bekas pasukan saya pada musim lalu dan mereka masih pasukan yang baik.

“Tomas Trucha adalah antara jurulatih terbaik yang saya kenali dan biarpun dengan bajet kecil, beliau masih mampu membawa pasukan dengan baik sejak musim lalu.

“Namun, Sri Pahang juga dahagakan tiga mata dan kami mahu bangkit setelah tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan yang lalu, jika menang, saya percaya ia mampu menjadi titik kebangkitan pasukan dalam pentas Liga Super,” katanya.

Sri Pahang berada di tangga kedua terakhir Liga Super dengan pungutan satu mata dari tiga perlawanan sementara Penang FC,berada di tangga kesembilan, selepas tiga kali seri dari lima perlawanan.

Aksi terakhir menyaksikan Sri Pahang tunduk 1-2 kepada Melaka United FC pada 16 April lalu di Stadium Darul Makmur.

Berusia 32 tahun, Rowley pernah bermain di Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah sebelum ke Penang pada musim lalu.

Menyentuh tanggungjawab bersama Sri Pahang, Rowley menjelaskan Gamel telah memberikan peranan yang berbeza berbanding semasa bermain dengan pasukan-pasukan terdahulu.

“Jurulatih, Gamel banyak menekankan saya untuk fokus pada aspek bertahan di bahagian tengah dan tidak terlalu naik ke atas semasa kami menyerang.

“Ini satu tugas baru bersama Sri Pahang untuk musim ini dan saya perlu mengikut apa jua arahan disampaikan jurulatih.

“Namun, saya masih boleh juga membantu pasukan pada situasi sepakan penjuru cuma tuah untuk lakukan jaringan belum lagi hadir,” katanya.