SKUAD PROJEK FAM-MSN RESAH HADAPI TOK JANGGUT WARRIORS

March 14, 2022



Walaupun turun tanpa sembilan pemain yang masih menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Hassan Sazali Waras berharap situasi itu tidak mengganggu peluang pasukannya apabila berentap dengan Tok Janggut Warriors FC pada pusingan pertama Piala FA, pada Selasa.

Berbekalkan 18 pemain yang boleh digunakan, Hassan mengharapkan pengalaman 13 pemain dari musim lalu mampu membantu perjuangan Skuad Projek FAM-MSN pada aksi pertama kompetitif musim ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

“Saya tidak dapat menyenaraikan pemain-pemain dengan selengkapnya kerana masih ada pemain yang sedang duduki SPM.

“Seramai sembilan pemain masih jalani peperiksaan pada hari esok yang menjadikan mereka tidak boleh bersama pasukan untuk perlawanan ini.

“Dari senarai baki 20 pemain, dua daripada mereka alami kecederaan dengan salah seorang ialah penyerang utama iaitu Amirul Akmal.

“Namun, saya harap pemain-pemain tidak mengalah dengan situasi ini dan mampu berjuang sedaya upaya untuk bertemu Tok Janggut dan cuba mendapatkan kemenangan bagi mara ke peringkat seterusnya, ” katanya.

Skuad Projek FAM-MSN yang bakal tampil pertama kali di pentas Piala FA sepatutnya berentap dengan Tok Janggut Warriors pada 11 Mac lalu namun aksi tersebut terpaksa ditunda ekoran terdapat kes penularan positif COVID-19 dalam kalangan pemain.

Di atas kertas, Tok Janggut Warriors FC yang dikendalikan bekas legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha dilihat mempunyai sedikit kelebihan apabila dibarisi beberapa pemain berpengalaman seperti Khairul Izuan Rosli, Nizad Ayub dan Syazwan Yusoff.

Faktor itu serba sedikit menggusarkan Hassan yang mengakui anak-anak buahnya perlu tampil bekerja lebih keras di atas padang bagi imbangi kelebihan yang ada pada Tok Janggut Warriors.

“Saya tidak mengetahui terlalu banyak mengenai kekuatan pasukan lawan kerana mereka merupakan sebuah pasukan baharu di Liga M3.

“Mereka ada menang aksi terakhir di Liga M3 apabila menewaskan Kuala Lumpur Rovers, 2-1, jadi sememangnya kita perlu berhati-hati dengan kekuatan semua pemain mereka.

“Majoriti pemain mereka difahamkan pernah bermain di peringkat tertinggi di Liga Super serta Liga Premier sebelum ini, jadi aspek pengalaman memang memihak Tok Janggut.

“Saya tidak menaruh harapan terlalu tinggi kerana saya faham ini satu pendedahan buat mereka tetapi jika berjaya mendapatkan kemenangan, saya rasa situasi boleh menyuntik moral dalam kalangan pemain bagi hadapi pentas Liga Premier,” katanya.