SELANGOR AKUI KESILAPAN DI BENTENG PERTAHANAN

April 6, 2022



Di sebalik keputusan seri 2-2, pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner tetap memuji kerja keras anak buah yang beraksi hanya 10 pemain seawal minit 22 dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC semalam.

Feichtenbeiner mengakui kesilapan di benteng pertahanan meranapkan harapan Selangor untuk membawa pulang tiga mata apabila skuad kendalian K. Devan bangkit dengan dua jaringan pada minit-58 dan 75.

Jelasnya, corak perlawanan pasukan sedikit terjejas apabila pertahanan import, Yazan Al-Arab dilayangkan kad merah seawal minit 22 menyaksikan The Red Giants terpaksa beraksi dengan 10 pemain lebih awal.

Namun, beliau menyifatkan anak buahnya tetap berusaha sehabis baik dalam memastikan pasukan tidak tersungkur dan tetap bersyukur dengan satu mata yang diraih.

“Saya rasa kami mendominasi perlawanan pada awalnya sebelum dilayangkan kad merah dan selepas itu corak perlawanan terus berubah tetapi saya boleh katakan mereka tetap melakukan yang terbaik.

“Pemain juga melakukan kesilapan, tetapi kita kena fokus bagaimana untuk mengurangkan kesilapan yang sama itu dan saya tidak mahu bercakap mengenai apa yang telah terjadi selepas perlawanan ini.

“Saya tahu semua menjangkakan kami untuk membawa pulang tiga mata tetapi kita kena terima dengan satu mata ini dan pemain masih mencipta peluang, mendapatkan jaringan walaupun dengan 10 pemain”, jelasnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K.Devan pula menganggap pasukan sepatutnya boleh mendapatkan tiga mata sekiranya tiada kesilapan sendiri dilakukan sehingga menjaringkan gol sendiri dan menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan.

Apatah lagi dengan Selangor yang hanya beraksi 10 pemain dan ia sepatutnya memberi kelebihan kepada Negeri Sembilan untuk cuba memenangi perlawanan semalam.

“Saya rasa kita akan berpuas hati sekiranya dapat kutip tiga mata apatah lagi bermain di laman sendiri, tetapi ketinggalan dua gol atas kesilapan sendiri dan kalau kita berjaya ikat 0-0 di separuh masa pertama, mungkin situasi berbeza di separuh masa kedua.

“Pujian kepada semua pemain walaupun ketinggalan, tetapi kita berjaya jaringkan dua gol dan selepas Selangor bermain dengan 10 orang, kita dapat menguasai permainan.

“Bagi saya, Selangor bukan pasukan mudah dan kalau kita tengok rata-rata pemain dalam kesebelasan utama mereka termasuk pemain import, di atas kertas, mereka adalah lebih baik, cuma kita dapat sedikit kelebihan apabila mereka hilang seorang pemain”, katanya.

Keputusan lain menyaksikan Melaka United FC tewas 0-1 kepada Sabah FC di Stadium Hang Jebat manakala Sarawak United FC dan Penang FC masing-masing meraih satu mata selepas keputusan seri 1-1 di Stadium Negeri.