SELAMAT MAJU JAYA BUAT SEMUA PASUKAN LIGA MALAYSIA 2020

February 28, 2020



Saya mewakili Malaysian Football League (MFL) ingin mengucapkan selamat berjuang kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah yang bakal beraksi dalam CIMB Piala Sumbangsih 2020 di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Harapan semua pihak semoga kita dapat menyaksikan satu perlawanan menarik dan berkualiti tinggi dipertontonkan bagi saingan edisi ke-36 itu.

Sudah pasti pertembungan juara CIMB Liga Super kali keenam berturut-turut JDT dan juara Shopee Piala FA 2019 Kedah amat dinantikan penuh debaran buat penyokong setia kedua-dua pasukan.

Dengan pentas CIMB Piala Sumbangsih menjadi pembuka tirai Liga Malaysia musim 2020, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya dan selamat berjuang kepada kesemua pasukan yang bertanding dalam kejohanan pada musim ini.

Sudah pasti saya berharap Liga Malaysia musim 2020 akan menjadi titik kebangkitan baharu bola sepak tempatan di mana semua pihak khususnya penyokong mahu melihat satu saingan lebih berkualiti dapat disajikan dan lebih baik daripada musim-musim terdahulu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para penyokong tanah air yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka yang akan mengerah keringat mengejar gelaran CIMB Liga Super, Liga Premier, TM Piala Malaysia dan Shopee Piala FA musim ini.

Ini kerana sokongan anda sentiasa menjadi elemen penting dalam menyuntik semangat juang pasukan dan para pemain untuk menampilkan permainan lebih baik dalam misi memburu kejuaraan.

Akhir kata, saya berharap dengan sokongan padu penyokong, persiapan rapi daripada kesemua pasukan Liga Malaysia dan kehadiran tiga penaja utama iaitu Telekom Malaysia (TM) yang menjadi penaja TM Piala Malaysia, CIMB Bank bagi CIMB Liga Super dan Shopee yang mengekalkan jenama Shopee Piala FA buat kali ketiga berturut-turut bakal memberikan kelainan tersendiri untuk Liga Malaysia musim 2020.

YANG BERBAHAGIA DATUK HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN
PRESIDEN MALAYSIAN FOOTBALL LEAGUE