SAYA PUN TERKEJUT – P. MANIAM

April 7, 2022



Ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam tidak menyangka pasukannya mampu menang dengan keputusan 3-0 ke atas Terengganu FC semalam dalam aksi Liga Super sambil menyifatkan hatrik daripada penyerang, Darren Lok terus meranapkan harapan lawan untuk bangkit.

Jelasnya, setiap pemain berhasil memainkan peranan masing-masing baik di bahagian tengah, pertahanan dan juga serangan untuk tidak memberi peluang kepada skuad kendalian Nafuzi Zain melakukan asakan.

Beliau juga seakan-akan masih tidak percaya pasukan mampu beraksi dengan cukup cemerlang untuk mendapatkan tiga gol di separuh masa pertama dan berusaha sehabis baik untuk memastikan gawang tidak dibolosi sehingga wisel penamat dibunyikan.

“Ini satu keputusan yang saya sebagai jurulatih pun terkejut sebab 3-0 ini sesuatu yang sungguh ajaib dan pemain pun berada dalam landasan betul untuk mereka menunjukkan prestasi menakjubkan.

“Darren menjaringkan tiga gol di mana itu bantu kita untuk bermain dengan lebih yakin dan apabila separuh masa pertama dah dapat tiga gol, di separuh masa kedua kita dah boleh mengawal perlawanan dengan positif.

“Semestinya semua pemain terutamanya pertahanan bermain dengan bagus sebagai satu unit dan itulah sebabnya kita tidak dibolosi, jadi saya berbangga dengan pemain yang memberikan 200 peratus semasa bermain untuk bertahan.

“Kita layak untuk menang dan Terengganu tidak boleh bermain permainan mereka sebab kita bagi tekanan terutamanya daripada tiga penyerang iaitu Darren, Mahalli Jasuli dan S. Kumaahran serta dua pemain tengah juga bekerja keras, jadi inilah sebabnya kita mampu menang”, jelasnya.

Dalam perlawanan lain yang turut berlangsung semalam menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) juga menang 3-0 ke atas Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sekaligus lebur rekod tanpa kalah tuan rumah di laman sendiri.

Pengendalinya, Benjamin Mora berpuas hati dengan kemenangan tersebut apatah lagi selepas berdepan persiapan yang cukup padat memandangkan kebanyakan pemainnya yang terlibat dengan skuad kebangsaan.

“Kami sangat gembira mendapat tiga mata dan teruja kembali beraksi sekarang sebab dah berehat agak lama disebabkan tugas bersama skuad kebangsaan.

“Jadi, kita tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih bersama tetapi sekarang kita berjaya melakukan tugas yang cukup baik.

“Tetapi mengenai rekod Kuala Lumpur, saya tidak terlalu kisah sangat mengenai rekod sebab bagi saya sejarah dan rekod tidak akan memberi kami mata, jadi kami hanya fokus untuk menang sahaja”, jelasnya.

Keputusan lain bagi perlawanan semalam menyaksikan Kedah Darul Aman FC meraih tiga mata apabila menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 1-0 di Stadium Darul Aman.