SATU MATA LAGI PISAHKAN JDT DARIPADA KEJUARAAN

September 28, 2020



SATU MATA LAGI PISAHKAN JDT DARIPADA KEJUARAAN

Kekalahan pencabar terdekat, Kedah 1-2 kepada Pahang meletakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya memerlukan satu sahaja lagi mata daripada baki dua perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan CIMB Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014.

Biarpun JDT sekadar meraih keputusan seri 2-2 bertemu PJ City FC pada Jumaat, namun berbekalkan pungutan 23 mata, skuad Harimau Selatan ini berada dalam kedudukan yang cukup selesa dengan enam mata berkelebihan ke atas Perak selain mempunyai margin perbezaan gol yang besar iaitu 17 berbanding 3.

Justeru, sebarang mata bertemu Sabah di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat sudah mencukupi buat JDT terus menutup ruang kepada Perak untuk memintas kedudukan mereka.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, akur dengan keputusan seri itu yang bermakna mereka perlu fokus mencari tiga mata di laman sendiri menentang Sabah pada 2 Oktober sebagai pengakhiran manis kepada skuad Harimau Selatan.

“PJ City nyata mampu memberikan cabaran, dan kami berdepan sedikit masalah pada situasi bertahan apabila lawan melakukan serangan balas dan pada separuh masa kedua, barulah kami mendapat rentak serta bermain lebih tersusun.

“Sebagai jurulatih, saya memang ingin menang semua perlawanan, tidak kira di mana sahaja tetapi realitinya kami tidak boleh menang selalu dan mungkin perkara yang positifnya, kami boleh mengesahkan kejuaraan di tempat sendiri.

“Saya sama sekali tidak akan memandang rendah keupayaan Sabah nanti walaupun mereka berdepan prestasi yang kurang menjadi pada musim ini tetapi semangat beraksi di Stadium Sultan Ibrahin diharap mampu membantu kami mendapat 3 mata berharga untuk menjulang trofi di hadapan bos kami (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) selain kepada semua peminat JDT.

Dalam pada itu, K. Devan yang teruja melihat persembahan pemainnya mengharapkan mereka boleh memungut enam mata maksimum dalam dua aksi selepas ini, bertemu UiTM FC dan PDRM.

“Saya cukup berbangga dengan pemain saya kerana menunjukkan tahap permainan bola sepak yang berbeza berdepan dengan pasukan terbaik di Liga Malaysia dan aksi hari ini bukan berat sebelah kepada sesiapa.

“Jika pemain PJ City boleh kekalkan prestasi sebegini, saya yakin kami boleh mendapatkan kemenangan dalam dua perlawanan selepas ini dan perbaiki kedudukan carta liga,” katanya.

Dalam perlawanan itu, gol jaringan PJ City FC disumbangkan Christie Jayaseelan pada minit-37 dan K. Gurusamy pada minit 45+1 manakala JDT menerusi Safawi Rasid pada minit-35 serta Gonzalo Cabrera pada minit-45+4.

Sementara itu di Stadium Darul Makmur, Pahang mengejutkan Kedah biarpun ketinggalan seawal minit ke-15 hasil jaringan Tchetche Kipre apabila Adam Reed dan Nik Sharif Haseefy memastikan tiga mata penting buat skuad Tok Gajah untuk berada dalam kelompok enam terbaik.

“Saya ucapkan tahniah kepada pemain yang telah berikan yang terbaik biarpun kita ketinggalan hasil serangan pantas Kedah dan mereka langsung tidak berputus asa untuk bangkit.

“Memang sudah banyak perubahan yang saya lihat kepada pemain selepas kita kalah dalam dua perlawanan awal sebaik liga bersambung dan kemenangan dengan PDRM serta seri dengan Felda dan selain aksi malam ini menunjukkan pemain sudah lupakan masalah yang melanda sebelum ini, ” katanya.

Shahrel Fikri Fauzi mencuri perhatian peminat Liga Malaysia apabila meledak empat gol bagi membantu Perak menang besar 5-1 ke atas Felda United FC di Stadium Perak.

Ledakannya pada minit 17, 47, 69 dan 86 telah menobatkannya selaku penjaring terbanyak CIMB Liga Super setakat ini, mengatasi tiga pemain import, Dominique Da Sylva, Ifedayo Omosuyi dan Tchetche Kipre yang menjaringkan tujuh gol.

Satu lagi gol Perak melalui Guiherme de Paula pada minit-53 sementara Nicolas Velez menyumbangkan gol saguhati buat Felda United FC pada minit-62.

Sabah pula meraih kemenangan yang cukup penting apabila mengejutkan Melaka, 3-2 di Stadium Likas bagi keluar daripada zon penyingkiran untuk berada di kedudukan kesembilan CIMB Liga Super.

Walaupun ketinggalan dua kali kepada Melaka menerusi gol Uche Agba (minit ke-15) dan Sony Norde (minit ke-45+2), Dennis Buschening bertindak dua kali sebagai penyelamat menerusi gol pada minit-25 dan 64 sebelum Rodoljub Paunovic meledak gol kemenangan pada minit-72 hasil sepakan penalti.

Di Stadium UiTM, Ifedayo Omosuyi muncul penyelamat Selangor yang sudah berada di ambang kekalahan apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit-90+5, selepas UiTM FC melakar kebangkitan hebat melalui tiga gol oleh Gustavo (minit-48, 58) dan Rabih Ataya (minit-62).

Selangor sebelum itu berada dalam kedudukan 2-0 di hadapan pada babak pertama dengan gol sumbangan Ifedayo pda minit-24 dan Sandro da Silva pada minit-45+4.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu FC akhirnya menamatkan rentetan kekalahan tiga kali berturut-turut apabila menang besar 4-0 mengatasi PDRM yang secara rasminya tersingkir ke Liga Premier, musim depan.

Faris Ramli membuka tirai jaringan pada minit kelapan diikuti sepakan penalti Lee Tuck, minit-26 sebelum pemain import dari England itu menambah jaringan ketiga sebelum babak pertama melabuhkan tirai.

Tuan rumah berjaya mendapatkan satu lagi jaringan pada separuh masa kedua melalui gol kedua Faris Ramli pada minit ke-74.

#ForwardFootball
#BangkitSemangatBola
#CIMBLigaSuper2020