RTM MENJADI RAKAN PENYIAR unifi UNTUK BOLA SEPAK LIGA MALAYSIA 2022 ANJURAN MFL

February 23, 2022



Bertepatan dengan slogan ‘Sukan Terbaik Hanya di RTM’, peminat sukan bola sepak tempatan bakal disajikan dengan aksi terbaik sepanjang kempen Liga Malaysia tahun ini apabila RTM diumumkan selaku penyiar Liga Malaysia 2022.

Berkesinambungan dengan kerjasama RTM sebelum ini bersama-sama pihak Malaysian Football League (MFL) dan TM dalam penganjuran Bola Sepak Liga Malaysia 2021, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama untuk tahun 2022 dengan menjalin persefahaman yang menjadikan RTM selaku Rakan Penyiar unifi untuk Bola Sepak Liga Malaysia 2022 yang disaksikan secara simbolik oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa.

Kerjasama yang dibentuk merupakan antara matlamat utama RTM dalam memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab sosial, selaku Hos Penyiar Bersama stesen tidak berbayar milik kerajaan, atau Free to Air (FTA) untuk memberi siaran percuma kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada mereka yang tidak memiliki akses siaran berbayar atau saluran pay per view.

Tontonan secara langsung disiarkan oleh RTM dalam tiga platform iaitu melalui saluran TV1, TV Okey dan Sukan RTM serta RTM Klik.

Kempen Liga Malaysia musim 2022 akan bermula pada 26 Februari ini dengan kick-off perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menyaksikan pertemuan antara juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara TM Piala Malaysia, Kuala Lumpur City FC.

Kelainan tahun ini menyaksikan format perlawanan Perlawanan Sumbangsih akan kembali seperti dahulu, iaitu dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan tidak dikira sebahagian daripada perlawanan liga.

RTM bakal menyiarkan 44 perlawanan liga termasuk Liga Super yang bakal bersiaran mulai 4 Mac 2022, Piala FA dan Piala Malaysia, namun ianya tertakluk kepada sebarang perubahan dari semasa ke semasa.

Hadir sama ke majlis hari ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek; Ketua Pengarah Penyiaran, Dato’ Haji Che Roslan bin Che Daud; Pengerusi MFL, Datuk Ab Ghani bin Hassan dan Ketua Pegawai Komersil TM, Anand Vijayan.