PREVIU – SHOPEE PIALA FA SEPARUH AKHIR 2

June 29, 2019



Perak atau Pahang? Felda United FC atau Kedah? Dua pasukan yang layak ke perlawanan akhir Shopee Piala FA musim ini akan ditentukan hujung minggu ini dengan perlawanan separuh akhir kedua di atas.

Malam ini, juara bertahan Pahang akan bertandang ke Stadium Perak di Ipoh untuk bertemu Perak; manakala Felda United FC akan melayan kunjungan Kedah di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka pada hari Ahad.

Tugas berat menanti Perak yang perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 untuk layak ke perlawanan akhir selepas kecundang 1-3 kepada Pahang dalam aksi separuh akhir pertama pada 22 Jun lepas.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh dijangka akan menyenaraikan kesebelasan utama apabila berdepan Perak selepas hanya menurunkan skuad simpanan dalam kekalahan 2-5 kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super Selasa lalu.

“Saya merehatkan ramai pemain skuad utama dalam saingan Liga Super kerana mahu memastikan mereka berada pada tahap baik dalam semua aspek.

“Saya berharap pemain utama dapat mempamerkan aksi mantap and juga berjuang berhabis-habisan untuk menewaskan Perak dalam perlawanan timbal balik malam ini,” kata Dollah yang dijangka akan mengandingkan semula penyerang import Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi bagi memperkuatkan jentera serangan. 

“Nwakaeme sudah bersedia untuk bermain malam ini. Saya berharap Nwakaeme dan Kaimbi dapat memberi tekanan kepada pertahanan Perak and menjaringkan gol.

“Walau bagaimanapun, jentera tengah dan pertahanan juga kena melakukan tugas mereka dengan baik untuk mencapai kemenangan.”

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic optimis pasukannya mampu memberi persembahan berkualiti malam ini meskipun beberapa pemainnya tidak dapat diturunkan akibat digantung perlawanan atau cedera.

“Ini bukanlah perlawanan yang mudah. Saya harap pemain-pemain yang ada dapat memberi tentangan hebat.

“Nazirul Naim Che Hashim and Ronaldo digantung perlawanan manakala Amirul Azhan Aznan masih belum pulih daripada kecederaannya,” kata Durakovic.

Pahang akan berusaha untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA untuk musim ketiga berturut-turut, manakala Perak akan layak ke final untuk kali pertama sejak musim 2005 sekiranya The Bos Gaurus berjaya membatalkan kelebihan dua gol Pahang.

Pada hari Ahad, ujian getir bakal menanti Kedah di Jengka selepas hanya menang 1-0 di Alor Setar dalam perlawanan separuh akhir pertama menentang Felda United FC.

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengharapkan pemainnya akan berada di tahap kecergasan yang baik.

“Kita perlu beri perhatian terhadap faktor kecergasan kerana baru sahaja beraksi menentang PJ City FC Rabu lalu. Pemain saya juga perlu berwaspada malam ini kerana Felda dijangka bermain dengan baik di laman sendiri.

“Bekalan satu gol yang kami perolehi di Alor Setar perlu dilupakan. Fokus utama adalah untuk memburu kemenangan,” kata Aidil.

Penyerang import Kedah, Jonatan Bauman dan Fernando Rodriguez telah berganding untuk menjaringkan tujuh gol setakat ini, dan pastinya akan memburu gol lagi untuk melayakkan skuad Helang Merah ke perlawanan akhir Piala FA buat kali keenam.
Jurulatih Felda, Nidzam Jamil yakin pasukannya akan menewaskan Kedah dan layak untuk perlawanan akhir Piala FA untuk kali pertama sejak musim 2014.

Keyakinan itu ditambah dengan kembalinya tiga tonggak utama The Fighters yang tidak beraksi pada perlawanan separuh akhir pertama.

Nidzam mengesahkan bahawa Khairul Amri Kamal, Thiago Aquino dan Masaki Watanabe akan bermain malam ini and mereka bersedia untuk menyekat kemaraan skuad Aidil.

Pertahanan import Watanabe and Thiago tidak diturunkan pada separuh akhir pertama kerana digantung perlawanan manakala Khairul Amri baru pulih daripada kecederaan hamstring.

"Saya berharap ketiga-tiga pemain ini dapat membantu pasukan untuk mencapai matlamat layak ke pentas final. Kami perlu menjaringkan gol awal untuk mengimbangi perlawanan," katanya.

Perlawanan Perak lwn Pahang akan disiarkan secara langsung di TV9 dan di iflix, manakala perlawanan Felda United FC lwn Kedah akan disiarkan di iflix.