PREVIU – PIALA MALAYSIA SF1

October 19, 2019



Saingan Piala Malaysia kembali malam ini dengan peringkat separuh akhir yang menyaksikan kelibat empat pasukan terunggul musim ini — Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Pahang and Kedah —menjanjikan aksi yang menarik.

Pahang akan bertandang ke Stadium Darul Alam, Alor Setar menentang Kedah manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu Selangor di Stadium Tan Sri Dato’ HJ Hassan Hassan Yunos, Larkin malam ini dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Pahang berdepan krisis kecederaan pemain utama dan ini mungkin akan mencacatkan persembahan anak buah Dollah Salleh di Alor Setar.

Enam pemain yang berdepan masalah kecederaan ialah Lazarus Kaimbi, Norshahrul Idlan Talaha, Muslim Ahmad, Nor Azam Azih, Zuhair Aizat Nazri dan Faisal Abdul Halim.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata fokus utama skuadnya ialah untuk mencatat keputusan positif sebagai bekalan untuk separuh akhir kedua di Kuantan, 26 Oktober depan.

“Memang kami berdepan masalah kecederaan melibatkan pemain utama tetapi saya percaya barisan pemain yang bakal mengisi kekosongan itu mampu memikul tanggungjawab yang diberikan. 

“Saya berharap mereka akan mengikut perancangan dan juga mampu untuk memberi saingan kerana Kedah merupakan pasukan yang konsisten.

“Kecederaan yang dialami oleh Kaimbi berlaku dalam saingan suku akhir manakala Norshahrul pula cedera pada sesi latihan dua hari lepas.

“Namun mereka semakin pulih dan saya harap mereka dapat diturunkan malam ini.

“Muslim dan Zuhair tidak dapat disenaraikan namun kedudukan Nor Azam dan Faisal masih 50-50 untuk bersama skuad Tok Gajah,” ujarnya.

Bekas jurulatih kebangsaan itu juga memuji semangat tinggi yang dipersembahkan penyerang import Nigeria, Dickson Nwakaeme yang dilihat memberi komitmen untuk membantu Pahang beroleh kemenangan ke atas Kedah.

Nwakaeme merupakan penjaring terbanyak skuad Pahang dengan enam gol setakat ini, dengan tiga lagi bantuan gol.

“Kami amat mengharapkan sumbangan Nwakaeme untuk merobek gawang Kedah tanpa khidmat beberapa pemain lain.

“Dengan persefahaman dan kerjasama semua pemain, misi utama untuk melakar kemenangan ke atas Kedah akan tercapai,” katanya.

Pengendali Helang Merah, Aidil Sharin Sahak berharap pemainnya akan mempamerkan aski menarik malam ini.

Beliau mahu Kedah, yang memenangi Shopee Piala FA musim ini, mencari bekalan selesa di laman sendiri.

“Semua pemain perlu mengambil peluang ini untuk mempamerkan aksi menarik. Pahang merupakan pasukan yang mantap dan konsisten.

“Kami harus tenang dan sentiasa fokus dalam usaha mencari peluang terbaik untuk menghasilkan gol,” kata Aidil.

Kedah telah memenangi lima perlawanan berturut-turut, rekod terbaik mereka sejak bulan April-Mei 2015. Skuad Helang Merah juga telah menjaringkan 11 gol dalam tiga perlawanan terakhir di laman sendiri, dengan Farhan Roslan meledak dua gol dalam dua perlawanan terakhirnya di Stadium Darul Aman.

Musim 2014 merupakan kali terakhir perjumpaan Kedah dan Pahang dalam Piala Malaysia, dengan perlawanan separuh akhir pertama tahun itu juga berlangsung di Stadium Darul Aman, pada tarikh yang sama (19 Oktober 2014). Kedah memenangi perlawanan itu dengan skor 3-1.

Di Larkin, penyerang JDT, Diogo, yang telah menjaringkan enam gol setakat ini, berkata perlawanan bertemu Selangor malam ini cukup mencabar namun dia yakin skuadnya dapat menunjukkan prestasi yang baik.

“Kami telah pun mempersiapkan diri untuk malam ini. Matlamat JDT adalah sentiasa mahu menjadi juara dan memberikan persembahan terbaik.

“Saya berharap penyokong akan membanjiri stadium untuk memberi motivasi kepada pemain apabila bertemu Selangor,” kata Diogo.

Skuad kendalian Benjamin Mora merupakan satu-satunya pasukan yang mempertahankan rekod tanpa kalah dalam Piala Malaysia musim ini, dan telah menjaringkan 16 gol dalam empat perlawanan di laman sendiri setakat ini, purata empat gol setiap perlawanan.

Pengendali Selangor, B. Satiananthan berharap pemainnya tidak akan bermain mengikut rentak JDT, sebaliknya beraksi mengikut strategi pasukan untuk mendapat keputusan baik.

“JDT merupakan pasukan terbaik dalam liga Malaysia. Kami perlu berwaspada dan juga cuba mengelak daripada membuat kesilapan yang boleh mengakibatkan gol untuk pihak lawan.

“Pemain sudah cukup bersedia untuk perlawanan yang cukup mencabar ini. JDT merupakan pasukan berkualiti dengan ramai pemain berkaliber di semua posisi.

“Kami akan cuba memberi tentangan hebat malam ini,” katanya.

Selangor tewas dalam dua perjumpaan dengan JDT musim ini, namun skuad Gergasi Merah pastinya akan turun padang dengan penuh motivasi untuk membawa bekal ke perlawanan separuh akhir kedua.

Saksikan siaran langsung perlawanan JDT lwn Selangor di TV1 dengan kedua-dua perlawanan juga disiarkan di iflix.