PREVIU – PIALA MALAYSIA PM6 (KUMPULAN A & B)

September 17, 2019



Pusingan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia akan bermula pada malam ini dengan nasib beberapa pasukan ke pusingan seterusnya bakal ditentukan.

Dalam Kumpulan A, Negeri Sembilan masih mempunyai peluang, walaupun tipis, untuk mengiringi Kedah dan layak ke peringkat suku akhir sekiranya mereka menewaskan pasukan Aidil Sharin Sahak di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Negeri Sembilan, yang menduduki tempat ketiga dengan enam mata, tiga mata dibelakang Terengganu FC (TFC), perlu menang dengan jumlah jaringan yang besar dan mengharapkan TFC tewas kepada PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Ketua jurulatih, Zaki Shaikh Ahmad mengharapkan pemainnya dapat mengekalkan momentum kemenangan ketika bertemu dengan pasukan Helang Merah.

“Pemain-pemain menunjukkan komitmen tinggi apabila menewaskan PKNS FC 3-1 minggu lalu. Kemenangan itu telah menghidupkan peluang kita untuk mara ke suku akhir.

“Walaupun pintu ke suku akhir hampir tutup, kita masih mempunyai peluang. Pemain harus fokus dan beraksi mengikut strategi ketika menentang Kedah,” kata Zaki.

Jurulatih Helang Merah, Aidil berkata: “Biarpun sudah layak, kita tidak akan bermain sambil lewa apablia bertemu Negeri Sembilan.

“Kami nak bermain dengan rentak yang sama ketika menewaskan TFC 3-2 minggu lepas. Kami tidak akan memandang mudah keupayaan Negeri, mereka sudah menang dua kali berturut-turut, jadi kami tetap melawan untuk mendapatkan tiga mata,” kata Aidil.

Dua kekalahan berturut-turut memberi cabaran yang hebat kepada TFC dalam misi mereka layak ke suku akhir.

Walau bagaimanapun, TFC akan mencapai misi mereka walau sekadar seri dengan PKNS FC di Shah Alam.

“Peluang kita untuk mara ke suku akhir lebih cerah berbanding Negeri Sembilan, tetapi saya tidak mahu bergantung nasib kepada pasukan lain, sebaliknya mahu kita memberikan persembahan terbaik. Kita perlu kemenangan ke atas PKNS FC bukan sahaja untuk layak ke suku akhir tetapi untuk menjuarai kumpulan kerana peluang kita tetap ada,” kata jurulatih TFC, Nafuzi Zain.

Peluang PKNS FC, yang menduduki tangga tercorot dengan empat mata, ke suku akhir sudah tutup.

Tetapi pasukan Datuk K. Rajagobal tetap akan memberi tentangan hebat kepada pasukan TFC untuk mendapatkan mata.

Penyerang muda Jafri Firdaus Chew telah menjaringkan dua gol dalam tiga penampilan terakhirnya menentang TFC.

Dalam aksi Kumpulan B, JDT akan bertandang ke Stadium UiTM, Shah Alam untuk bertemu UiTM FC.

Misi JDT, yang sudah menjuarai kumpulan, adalah untuk mengakhiri peringkat awal dengan mencapai kemenangan kelima mereka untuk membawa momentum positif ke peringkat suku akhir.

Perlawanan ini merupakan peluang terakhir UiTM FC untuk mengutip mata di Piala Malaysia 2019.

Jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria berkata beliau berharap pemainnya akan menunjukkan prestasi yang baik untuk cuba menang pada perlawanan terakhir menentang JDT biarpun peluang agak nipis.

“Walaupun kita sudah tersingkir, kita masih akan buat yang terbaik menentang JDT.

“Untuk berada di tahap ini sudah cukup membanggakan. Kita tidak meletakkan sasaran untuk Piala Malaysia dan saya jadikan ia sebagai tempat untuk pemain mendapat lebih banyak pengalaman,” kata Ismail.

JDT mempunyai rekod yang cemerlang menentang UiTM FC, dengan 15 gol dijaringkan dalam empat pertemuan.

Penyerang JDT, Safawi Rasid telah menyumbang empat gol dalam dua perlawanan terakhirnya menentang UiTM FC.

Safawi dan rakan pasukannya, Diogo masing-masing telah menjaringkan lima gol dalam saingan Piala Malaysia setakat ini.

Di Manjung, PKNP FC, yang menduduki tangga ketiga dengan tujuh mata, perlu menewaskan PJ City FC di Stadium Manjung untuk mengiringi pendahulu kumpulan ke pusingan seterusnya.

Perlawanan ini akan berlangsung pada hari Jumaat, 20 September.

Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim yakin pasukannya mampu layak ke peringkat suku akhir. 

“Kita tahu PJ City mempunyai kekuatan sendiri dan kita meletakkan peluang 50-50 kerana masing-masing mahu mencipta kemenangan untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

“Saya harap penyerang saya, Giancarlo akan mengganas lagi sepertimana dalam kemenangan 4-0 keatas UiTM FC minggu lalu, dimana dia menjaringkan hatrik,” jelas Abu Bakar.

Giancarlo sebenarnya mewakili PJ City FC pada awal musim namun menyertai PKNP FC sebelum jendela perpindahan pertama ditutup.

Penyerang kelahiran Brazil ini telah menjaringkan 15 gol musim ini untuk skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim.

PKNP FC mempunyai rekod yang baik di laman sendiri di mana mereka masih mempertahankan rekod tanpa kalah sepanjang lapan perlawanan, sejak tewas 4-0 kepada Perak dalam April 2019.

Dalam masa itu, PKNP mencatat satu kemenangan dan tujuh seri dengan berjaya mengikat pasukan seperti JDT, Selangor, dan Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Pengendali PJ City FC, K. Devan berkata pasukannya tidak akan mensia-siakan peluang ke suku akhir di Manjung.

“Kita terpaksa mencatatkan kemenangan atau meraih keputusan seri berdepan PKNP FC pada perlawanan terakhir kumpulan, dan berdasarkan persembahan baik yang ditunjukkan pemain setakat ini, saya yakin kita boleh melangkah ke peringkat suku akhir,” kata Devan.

Pemain tumpuan PJ City FC ialah Washington Brandao, yang sudah menjaringkan tiga gol dalam saingan Piala Malaysia setakat ini dengan dua bantuan gol.

Kesemua perlawanan Pusingan PM6 malam ini akan disiarkan secara langsung di iflix.