PREVIU – PIALA MALAYSIA PM4 (HARI SELASA DAN RABU)

August 20, 2019



Aksi Piala Malaysia akan bersambung malam ini dengan dua perlawanan pusingan keempat (PM4) pada hari Selasa dan Rabu.

Dalam Kumpulan A, Kedah akan melayan kunjungan PKNS FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Pengendali Helang Merah, Aidil Sharin Sahak mahu jentera serangan pasukannya meningkatkan permainan mereka dalam usaha memburu tiga malam dalam perlawanan ini.

Ini merupakan misi penting untuk Kedah selepas gagal memungut mata penuh dalam dua perlawanan terakhir mereka.

Pasukan Aidil tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) di Alor Setar sebelum seri 1-1 pada aksi menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam Jumaat lalu.

“Faktor ketajaman akan terus diberi perhatian dan penekanan itu penting dalam usaha kami untuk memburu tiga mata pada perlawanan kali ini.

“Kami perlu bangkit di laman sendiri selepas dua perlawanan tanpa mata penuh.

“Pemain kena fokus and memberi komitmen yang tinggi apabila berhadapan PKNS FC kerana sedikit kelekaan boleh membawa padah.”

Ketika ditanya mengenai status kecederaan Azmeer Yusof dan Farhan Roslan, Aidil berkata mereka semakin pulih.

“Saya berharap mereka dapat bermain malam ini bagi memantapkan lagi permainan pasukan Kedah.

Kali terakhir Kedah mencatat kemenangan di Stadium Darul Aman adalah sewaktu menentang Perak dalam aksi Liga Super pada 13 Julai.

Lima daripada tujuh gol pemain tengah PKNS FC, Gabriel Guerra dijaringkan di tempat lawan musim ini, termasuk dua jaringan ketika menentang Negeri Sembilan pada pusingan PM2.

Kemenangan itu menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa tiga mata untuk pasukan Semut Merah dan sudah pastinya skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal ingin meneruskan rekod positif ini.

Pada hari Rabu, Selangor akan bertandang ke Stadium Hang Jebat untuk bertemu PDRM dalam aksi Kumpulan D.

Jurulatih Selangor, B. Satiananthan berharap pasukan Red Giants dapat memungut tiga mata selepas hanya seri 1-1 dengan PDRM di Stadium Shah Alam pada Ahad lepas.

“Kami hanya seri walaupun mendominasi permainan di Shah Alam. Kita tidak mengambil peluang yang dicipta manakala PDRM bermain secara selamat dan tidak banyak menyerang.

“Ini adalah perlawanan penting dan saya menharapkan pasukan Selangor tidak akan leka dalam misi untuk mendapatkan tiga mata,” kata Satiananthan.

Jurulatih PDRM, E. Elavarasan yakin pasukan Sang Saka Biru dapat membenam Selangor untuk mencerahkan peluang ke suku akhir.

“Kita mendapat empat mata dalam pusingan pertama Piala Malaysia dan bagi saya, ini merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Sekarang kita kena terus fokus untuk mendapatkan lebih banyak mata dalam pusingan kedua bermula dengan Selangor.

“Saya akan menilai tahap kecergasan pemain kerana ramai mengalami kecederaan ringan. Tetapi, saya yakin PDRM akan mempamerkan perlawanan menarik pada hari Rabu,” kata Elavarasan.

Perlawanan Kumpulan A, Kedah lwn PKNS FC dan PDRM lwn Selangor (Kumpulan D) akan disiarkan secara langsung di TV2 dan RTM HD Sports dan juga di siaran iflix.