PREVIU – PIALA MALAYSIA PM QF2 (AHAD)

September 29, 2019



Tiga pertembungan suku akhir kedua Piala Malaysia akan berlangsung malam ini untuk menentukan pasukan-pasukan yang akan mengikut Johor Darul Ta’zim ke peringkat separuh akhir.

Kedah, yang mempunyai bekalan tipis dengan kemenangan 2-1 ke atas PKNP FC di Manjung dalam suku akhir pertama, akan melayan kunjungan pasukan Abu Bakar Fadzim di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Walaupun mempunyai kelebihan satu gol, pasukan Helang Merah tidak akan mengambil mudah dalam usaha mencapai kemenangan pada aksi malam ini.

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata anak buahnya perlu fokus untuk mencapai keputusan positif malam ini.

“Kita perlu melupakan kemenangan di Manjung kerana perjuangan 90 minit di Alor Setar masih belum berakhir.

“PKNP FC akan bermain habis-habisan untuk memburu kemenangan dan kita perlulah berhati-hati. Saya mahu semua pemain meneruskan semangat untuk memastikan langkah kita ke separuh akhir dicapai.

“Kita perlu mengelak daripada dibolosi gol awal kerana ini akan memberi tekanan terhadap kita,” ujarnya.

Pengendali PKNP FC, Abu Bakar mengingatkan pemainnya untuk menyekat serangan Kedah dan memberikan saingan yang sengit.

“Pastinya, permainan malam ini sangat menarik dan kita sedari senario bukan mudah untuk kita. Pemain akan cuba memberikan yang terbaik dan menjaringkan gol.

“Mereka perlu fokus sepanjang 90 minit dan juga mempertahankan benteng kerana pastinya ancaman serangan Kedah akan lebih berbahaya.”

Abu Bakar juga mengharapkan penyerang import, Giancarlo, dapat memberikan sesuatu impak yang positif pada malam ini.

“Kita dapat lihat pada permainan di Manjung keberkesanan pemain muda, Mukhairi Ajmal, Yashir Pinto dan Hafiz Ramdan banyak memainkan peranan untuk cuba merobek pertahanan Kedah.

“Pastinya Giancarlo akan dikawal ketat malam ini. Jika beliau dapat lepaskan diri daripada kekangan itu saya rasa kita berupaya memlakukan sesuatu,” kata Abu Bakar.

Yashir Pinto menjaringkan gol “rabona” yang amat menarik pada perlawanan pertama, namun bintang baru PKNP FC ialah pemain berusia 17 tahun, Mukhairi Ajmal Mahadi yang telah menyumbang tiga bantuan goal (“assist”) dalam tiga perlawanan terakhirnya.

Di Stadium Darul Makmur, pengendali Pahang Dollah Salleh, mahu anak buahnya mengekalkan corak permainan yang konsisten ketika menentang Melaka, walaupun mempunyai bekalan tiga gol dari suku akhir pertama di Stadium Hang Jebat pada 22 September lalu.

“Apa pun boleh berlaku dalam bola sepak. Kelebihan yang dimiliki bukannya jaminan.

“Oleh it, pemain tidak boleh leka kerana pasukan lawan pastinya akan bermain habis-habisan untuk memburu gol,” ujar Dollah.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi akan menjadi taruhan Pahang untuk merobek gawang lawan.

Kaimbi telahpun menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan menentang Melaka musim ini, manakala Nwakaeme telah terlibat dalam tujuh gol untuk Pahang dalam Piala Malaysia setakat ini, dengan empat jaringan dan tiga bantuan gol.

“Saya juga percaya semua pemain akan mempamerkan prestasi terbaik. Pemain pertahanan, Muslim Ahmad dan pemain tengah, Nor Azam Azih mungkin tidak dapat diturunkan kerana kecederaan tetapi saya sudah mengenal pasti pemain yang mampu mengisi dua kekosongan tersebut,” kata Dollah.

Jurulatih Melaka, Zainal Abidin Zainal mengesahkan kapten pasukan Shukor Adan akan berada dalam senarai 18 malam ini.

“Semua pemain bersemangat untuk beraksi dalam misi menebus kehampaan di gelanggang sendiri.

“Saya sudah menyusun kembali strategi untuk perlawanan ini, saya berharap pemain akan fokus untuk mencapai kejayaan.

“Shukor akan berada dalam skuad tetapi saya belum membuat keputusan untuk menurunkan beliau,” kata Zainal.

Walaupun tewas 0-1 pada suku akhir pertama di Ipoh minggu lalu, Selangor yakin mereka mampu menewaskan pasukan Perak dan melangkah ke peringkat separuh akhir buat kali pertama sejak musim 2016.

Selangor mengharapkan bahawa penyokong setia mereka akan turun ke Stadium Shah Alam untuk memberi motivasi kepada pemain malam ini.

Selangor masih belum kalah dalam sembilan perlawanan terakhir di stadium tersebut sejak tewas kepada Felda United FC pada bulan April, tetapi The Bos Gaurus mempunyai kelebihan berdasarkan lima pertemuan terakhir dua pasukan ini, yang menyaksikan tiga kemenangan memihak Perak dan dua seri.

“Saya yakin dengan anak buah saya dapat bangkit malam ini. Saya juga menharapkan penyokong akan membanjiri stadium dan memberi sokongan kepada pasukan Selangor,” kata pengendali Selangor, B. Satiananthan.

“Pemain tengah Brazil, Sandro da Silva mungkin tidak dapat diturunkan kerana kecederaan namun pemain lain berada pada tahap kecergasaan yang baik.”

Pemain pertahanan Perak, Hussein El Dor berkata pasukannya berada dalam keadaan mental yang baik untuk menentang Selangor malam ini.

“Sebagai juara bertahan, kami mahu pergi jauh dan mempertahankan trofi Piala Malaysia. Kami berjaya menghalang Selangor daripada menjaringkan gol dalam perlawanan pertama dan ini bakal memberi motivasi kepada kami di Shah Alam.

“Kita harus fokus dan juga mengikuti strategi dalam usaha mencapai keputusan yang baik,” katanya.

Rakan pertahanan Hussein, Nazirul Naim Che Hashim telah menyumbang dua bantuan gol dalam tiga perlawanan terakhirnya,

Saksikan perlawanan Selangor lwn Perak di TV1, manakala semua perlawanan suku akhir mala mini akan disiarkan secara langsung di iflix.