PREVIU – LIGA SUPER (PERLAWANAN TERTUNDA)

July 16, 2019



Aksi Liga Super kembali malam ini dan esok dengan tiga perlawanan yang ditunda.

Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berhasrat untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka akan menentang PJ City FC di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin dalam aksi pusingan LS20, manakala Melaka akan menerima kunjungan PKNS FC di Stadium Hang Jebat dalam aksi LS21.

JDT yang menghuni tempat teratas dengan 52 mata, berbaki dua perlawanan lagi untuk melengkapkan kempen tanpa kalah Liga Super buat kali kedua selepas musim 2016.

PJ City FC, di bawah kendalian K. Devan mempunyai tugas berat untuk mengakhiri rekod tanpa kalah JDT dalam saingan liga di Larkin sejak tahun 2013.

“Sekarang ini, kami barada di ambang musim kedua tanpa kalah dan saya percaya kesemua pemain fokus untuk mencapai misi ini,” kata pengurus pasukan Luciano Figueroa.

Safawi Rasid telah menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan terakhir di laman sendiri manakala Nazmi Faiz Mansor telah menyumbang dua gol dan satu bantuan gol dalam tiga perlawanan terakhirnya.

Namun begitu, pertahanan tengah Brazil, Mauricio digantung satu perlawanan dan Adam Nor Azlan dijangka berganding dengan Aidil Zafuan di bahagian tengah pertahanan.

PJ City FC akan menghadapi cabaran yang susah dengan rekod yang kurang baik baru-baru ini, dengan hanya satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.

Di Melaka, pasukan Zainal Abidin Hassan mampu melonjak dua anak tangga ke tempat ketiga liga mengatasi Kedah (34 mata) and Selangor (34 mata) sekiranya menewaskan PKNS FC malam ini.

“Kelebihan aksi di gelanggang sendiri adalah kesempatan terbaik untuk meraih kemenangan walaupun berdepan cabaran sengit pelawat yang turut mengintai kemenangan.

“Apa yang pasti, Melaka perlu menang kerana ianya akan memberi motivasi dalam perlawanan terakhir berdepan Pahang Sabtu ini.

“Kita akan bermain dengan barisan terbaik. Shukor Adan, Safiq Rahim, Luka Milunovic, Raimi Md. Nor dan Saiful Ridzuwan Selamat sudah kembali cergas daripada kecederaan,” kata Zainal.

PKNS FC, yang berada di kedudukan kelapan dengan 20 mata, akan memburu kemenangan kedua di tempat lawan musim ini untuk memperbaiki rekod hanya mengumpul satu mata dalam lima perlawanan terakhir mereka.

Pasukan Semut Merah pastinya akan mengharapkan penjaring terbanyak liga, Kpah Sherman yang sudah meledak tujuh gol dalam enam perlawanan terakhirnya.

Dalam perlawanan tunggal pada hari Rabu, Pahang akan bertembung dengan pasukan “jiran”, Felda United FC dalam aksi pusingan LS15 di Stadium Darul Makmur.

Berbaki dua lagi perlawanan, Pahang hanya memerlukan satu kemenangan untuk mengesahkan status selaku naib juara Liga Super.

Pasukan tuan rumah berharap penyerang import mereka, Lazarus Kaimbi akan mempamerkan aksi lebih baik apabila berdepan Felda.

Kaimbi, yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua, hanya berjaya menjaringkan satu gol setakat ini.

“Bukan saja berdepan Felda, malah aksi terakhir bertemu Melaka Sabtu ini juga perlu digunakan oleh Kaimbi untuk tampil lebih cemerlang menjelang saingan Piala Malaysia bulan depan.

“Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana kami hanya memerlukan tiga mata untuk mengesahkan kedudukan di tempat kedua liga. Kaimbi perlu beraksi dengan baik untuk membantu pasukan tanpa kelibat Dickson Nwakaeme yang masih cedera,” kata pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang.

Felda, yang menduduki tempat ke-11 dengan 16 mata dengan baki dua perlawanan, perlu menewaskan Pahang untuk mencerahkan harapan mereka untuk terus kekal di Liga Super musim depan.

“Kita akan berikan yang terbaik untuk memastikan kemenangan apabila menentang skuad Tok Gajah.

“Kutipan mata maksimum di Kuantan sangat penting untuk mengekalkan kami dalam saingan Liga (Super) musim depan,” kata pemain sayap, S. Chanthuru yang menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan seri 1-1 dengan PKNP FC pada Sabtu lepas.

Berbanding PNKP FC dan Kuala Lumpur yang hanya berbaki satu perlawanan pada hujung minggu ini, pasukan Nidzam Jamil memiliki kelebihan dua perlawanan untuk mengutip mata maksimum bagi mengesahkan tempat di Liga Super untuk musim 2020.

Semua perlawanan di atas akan disiarkan secara langsung di iflix.