PREVIU – LIGA SUPER LS21

July 12, 2019



Aksi Liga Super bersambung malam ini dengan perlawanan Derbi Pantai Timur antara Terengganu FC (TFC) dan Pahang di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Skuad Sang Penyu pasti akan berusaha untuk mendapatkan tiga mata penting untuk terus mendaki liga. Penjaring terbanyak Terengganu FC, Sanjar Shaakhmedov (tujuh gol) telah menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhirnya, manakala Tchetche Kipre akhirnya menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa gol dalam perlawanan LS20 Selasa lepas.

Pasukan Nafuzi Zain berada di tempat ketujuh dengan 28 mata dan masih mempunyai peluang untuk mengakhiri musim di tempat ketiga tetapi terpaksa memenangi baki dua perlawanan dan juga mengharapkan keputusan-keputusan lain memihak mereka.

“Kita sudah melakukan persiapan lebih rapi terutama di barisan pertahanan bagi mengekang asakan penyerang pihak lawan.

“Selain itu, pemain kena peka untuk mengelak membenarkan gol melalui ‘set piece’ seperti yang berlaku pada perlawanan dengan Kedah (pada 9 Julai),” kata penolong jurulatih Mohamad Nik yang mengalas tugas Nafuzi yang sedang berkhusus
lesen Pro AFC.

Pahang pula ingin meneruskan momentum kemenangan untuk terus kekal di tangga kedua liga.

Penolong jurulatih, Ahmad Shaharuddin Rosdi berharap semua pemain akan beraksi dengan baik selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ke atas Kuala Lumpur (2-0) dan PKNS FC (3-2).

“Pemain perlu mengambil peluang dan kekal fokus sepanjang permainan,” kata Shaharuddin.
Beliau juga mahu jentera serangan beraksi dengan lebih baik untuk mencipta peluang dan menjaringkan gol. Ketiga-tiga jaringan dalam perlawanan dengan PKNS FC dijaringkan oleh pemain pertahanan, dan kemenangan 2-0 ke atas PKNP FC pada 18 Jun merupakan kali terakhir penyerang Pahang merobek gawang lawan.

“Apabila pemain pertahanan mampu menjaringkan gol, ia merupakan petanda positif buat pasukan yang tidak terlalu bergantung kepada jentera serangan.

“Bagaimanapun, kesemua pemain kenalah menunjukkan persembahan menarik dalam usaha mencari gol.

“Terengganu berada pada tahap yang baik dan saya menjangkakan perlawanan yang menarik,” kata Shaharuddin.

Perlawanan antara Melaka dan PKNS FC di Stadium Hang Jebat telah ditunda ke 16 Julai.

Pada hari Sabtu, empat perlawanan akan berlangsung.

Perak akan bertandang ke Stadium Darul Aman untuk bertemu Kedah, dan perlawanan ini dijangka menarik dengan kedua-dua pasukan bersaing untuk mengakhiri musim mereka di kedudukan tiga teratas.

Pasukan The Bos Gaurus, yang menundukkan Selangor 3-2 pada 10 Julai, berada di tempat keenam dengan kutipan 30 mata, manakala Kedah berada di tangga keempat dengan 31 mata.

“Kita kena memenangi baki perlawanan untuk mencerahkan harapan untuk mendapatkan kedudukan yang lebih baik.

“Ramai pemain mengalami kecederaan dan factor yang merumitkan keadaan ialah kita tidak mempunyai skuad yang besar.

“Saya juga fikirkan pada perlawanan akhir Shopee Piala FA, dimana saya perlu pemain-pemain utama saya beraksi,” kata pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Kedah mempunyai misi untuk menang baki perlawanan dan penolong jurulatih, Victor Andrag berharap pasukan tidak akan membuat kesilapan pada minit-minit terakhir seperti yang berlaku pada perlawanan menentang Terengganu FC yang berakhir seri 2-2.

“Keputusan tersebut sukar diterima tetapi kita tidak boleh terlalu memikirnya. Saya mahu pemain terus fokus dalam perlawanan berikut.

“Peluang kita untuk menduduki tempat tiga teratas liga masih ada. Tetapi kita perlu memenangi baki perlawanan,” kata Victor.

Di Shah Alam, Selangor akan melayan kunjungan pasukan “jiran” PJ City FC.

Pengendali Selangor, B. Satiananthan berharap barisan pertahanan pasukan akan lebih peka bila bertemu pasukan pelawat.

“Barisan pertahanan kena bermain dengan baik kerana kita tidak mampu lagi keciciran mata.
 “Saya akan cuba menyediakan pasukan yang mantap walapun ramai yang cedera, yang penting kita mahu berada di tangga keempat teratas,” kata Satiananthan.

PJ City FC, yang berada di tangga kesembilan dengan 20 mata akan bermain bersungguh-sungguh selepas kalah tipis dalam dua perlawanan terakhir.

Pasukan bimbingan K. Devan telah bolos sembilan gol dalam tiga perlawanan terakhir liga dan pastinya perlu meningkatkan prestasi untuk menandingi penyerang Selangor yang telah meledak sepuluh gol dalam tiga perlawanan terakhir di Stadium Shah Alam.

Selain itu, Felda United FC akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk bertemu PKNP FC dalam perlawanan yang amat penting kerana kedua-dua pasukan terikat dengan 15 mata dalam misi untuk mengekalkan status Liga Super musim depan.

The Fighters menghidupkan peluang mereka untuk terus kekal di Liga Super musim depan dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-0 untuk melonjak satu anak tangga dan digantikan oleh pasukan Warga Kota.

Ketiadaan Nidzam Jamil, yang sedang mengikuti kursus kejurulatihan lesen pro, tidak menggangu persiapan Felda yang akan berusaha untuk memenangi perlawanan kedua berturut-turut.

“Saya sedang mengikuti kursus tetapi saya mempunyai penolong-penolong jurulatih untuk membantu menyediakan pasukan.

“Saya berterima kasih kepada penolong-penolong jurulatih, Zahid Hashim, Khairul Ismail dan Azlisham Ibrahim yang berjaya membimbang pasukan untuk merekodkan kemenangan keatas Kuala Lumpur.

“Kini, pasukan Felda kena meneruskan momentum kemenangan untuk kekal di Liga Super musim depan,” kata Nidzam.
Di Cheras, Kuala Lumpur akan menghadapi cabaran yang sukar dalam misi untuk keluar dari zon penyingkiran.

Mereka perlu menewaskan juara liga, Johor Darul Ta’zim dengan mengharapkan perlawanan antara PKNP FC and Felda United FC berakhir dengan keputusan seri untuk melonjak dua anak tangga.

Bagaimanapun, ia merupakan misi sukar kerana JDT juga ingin kekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini. Namun begitu,
perlawanan ini di Cheras pada musim lepas telah menyaksikan kemenangan 1-0 KL ke atas JDT yang merupakan kekalahan tunggal juara Liga Super pada musim 2018.

Pemain tengah Harimau Selatan, Leandro Velazquez telah meledak tiga gol dalam tiga perlawanan terakhirnya; manakala penjaring terbanyak JDT, Diogo memerlukan tiga gol untuk mengikat penyerang PKNS FC, Kpah Sherman sebagai penjaring terbanyak Liga Super.

Perlawanan Terengganu FC lwn Pahang akan disiarkan secara langsung di TV9 manakala semua perlawanan Pusingan LS21 akan disiarkan di iflix.