PREVIU – LIGA SUPER LS19

July 5, 2019



Aksi Liga Super pusingan LS19 bersambung malam ini dengan dua perlawanan yang menarik.

Kedah, yang berjaya layak ke Final Shopee Piala FA, akan melayan kunjungan PKNP FC di Stadium Darul Aman manakala Terengganu FC akan bertandang ke Stadium Shah Alam untuk bertemu PKNS FC.

Ketua jurulatih Helang Merah, Aidil Sharin Sahak akan mengambil langkah berjaga-jaga malam ini dan mengingati pemainnya untuk tidak mengambil mudah skuad Abu Bakar Fadzim yang berada di zon penyingkiran.

PKNP FC berada di tangga ke-11 dengan 14 mata manakala Kedah berusaha untuk mengakhiri musim ini dalam kelompok tiga terbaik Liga Super.

“Kita harus berkerja keras malam ini kerana PKNP (FC) bukanlah pasukan yang mudah, lebih-lebih lagi mereka memerlukan mata untuk mengelak daripada disingkir ke Liga Premier.

“Kalau kita lalai, kita akan dihukum dan keciciran mata. Hasrat utama kami ialah untuk meneruskan momentum kemenangan dalam liga dimana kami hanya mempunyai kelebihan satu mata keatas Selangor, yang berkedudukan tempat keempat.

“Saya mahu semua pemain teruskan fokus. Baki empat perlawanan terakhir Liga Super sangat penting untuk kami tidak kerugian mata dan pada masa yang sama mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Darul Aman,” kata Aidil.

Namun begitu, Kedah tidak dapat menurunkan pemain sayap Farhan Roslan dan pertahanan kiri Alif Yusof akibat digantung perlawanan.

PKNP FC akan memburu kemenangan kedua di tempat lawan musim ini dan pasti akan digalakkan oleh persembahan dalam perlawanan sebelum ini ketika seri 2-2 dengan PKNS FC.  

Terengganu FC pula tidak gentar dengan rekod yang kurang memuaskan menentang PKNS FC.

Musim lalu, skuad Sang Penyu tewas 4-0 di Stadium Shah Alam dan kali terakhir skuad Penyu memperolehi kemenangan ke atas skuad K. Rajagobal adalah pada Januari 2014.

“Bagi saya, itu hanyalah rekod dan apa yang penting ialah bagaimana pasukan saya beraksi malam ini.

“Saya percaya pasukan Terengganu mampu menewaskan PKNS jika bermain dengan baik,” kata ketua jurulatih Nafuzi Zain.

Nafuzi menjelaskan bahawa beliau akan melakukan rombakan skuad utama dengan ketiadaan pertahanan tengah, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang digantung perlawanan.

Pemain-pemain lain yang mungkin tidak dapat diturunkan kerana kecederaan ialah Ashari Samsudin, Khairu Azrin Khazali dan Khairul Anwar Shahrudin.

Situasi ini tidak meresahkan Terengganu FC biarpun sedar mereka akan berdepan penjaring terbanyak Liga Super setakat ini, Kpah Sherman yang sudah menjaringkan 12 gol.

“Posisi Amirzafran mungkin akan diambil alih oleh Thierry Chantha Bin, Radhi Yusof, Muhammad Faudzi atau Nasrullah Hanif Johan.

“Semua pemain harus fokus kerana kita akan dihukum jika leka dan melakukan kesilapan,” kata Nafuzi.

Pada hari Sabtu, tiga perlawanan akan berlangsung, termasuklah pertembungan antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dengan kejayaan mara ke Final Shopee Piala FA, Perak dijangka akan bermain dengan penuh semangat dalam perlawanan menentang juara liga, JDT di Stadium Perak, Ipoh.

Pasukan Mehmet Durakovic, yang berkedudukan tempat kelima dengan 27 mata, telah memenangi tiga perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super. Penyerang Brazil, Ronaldo juga telah meledak empat gol dalam tiga perlawanan terakhir beliau.

JDT pula sah bergelar juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut dengan kemenangan 2-1 ke atas Melaka pada pusingan LS18, dan mungkin akan merombak pasukan dengan menurunkan pemain-pemain yang tidak berpeluang untuk beraksi sebelum ini.  

Namun begitu, Diogo telah menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan terakhir beliau di tempat lawan.

Pahang yang berada di tempat kedua dengan 30 mata bertekad untuk buat terbaik dalam baki lima perlawanan mereka dalam usaha kekal di kedudukan tersebut.

Skuad kendalian Dollah Salleh akan melayan kunjungan Kuala Lumpur yang berada di tempat ke-10 dengan 14 mata.

“Pemain tidak boleh menganggap Kuala Lumpur pasukan mudah. Mereka sudah pasti akan memberi tentangan hebat kerana mereka mahu mengelak berada dalam kedudukan dua tercorot liga.

“Pasukan saya harus bijak dan bermain secara konsisten untuk mengambil peluang-peluang mereka dalam perlawanan ini,” kata Dollah.

Di Petaling Jaya, Melaka tidak dapat menurunkan pertahanan kiri, Raimi Md Nor yang digantung perlawanan menentang PJ City FC  di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Biarpun Raimi tidak dapat bermain, saya mahu pasukan saya merekodkan kemenangan bertemu PJ City FC yang akan membantu usaha melonjak kedudukan lebih baik di carta liga.

“Saya yakin Melaka akan memperbaiki kedudukan dengan syarat menang pada Sabtu ini,” kata jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan.

PJ City FC pula akan cuba meletakkan jarak antara mereka dengan pasukan di zon penyingkiran liga dengan tiga mata penting. Skuad kendalian K. Devan telah mencatatkan tiga kemenangan dalam empat perlawanan terakhir di laman sendiri.

Perlawanan tunggal pada hari Ahad menyaksikan pertembungan antara Felda United FC dan Selangor di Jengka. Skuad The Fighters harus mendapatkan keputusan positif dalam lima perlawanan terakhir mereka untuk terus kekal dalam Liga Super pada musim depan.

Pasukan Nidzam Jamil akan memulakan misi mengutip tiga mata apabila bertemu Selangor di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

“Kami kena fokus dalam kesemua baki perlawanan dengan memulakan misi pertama berdepan Selangor.

“Kami tidak boleh mengharapkan lawan lain seperti PKNP FC and Kuala Lumpur tewas kerana kami kena konsisten dalam baki perlawanan untuk mendapatkan mata.

“Kami menewaskan Selangor dalam pusingan ketiga Shopee Piala FA musim ini di gelanggang kami, dan saya mengharapkan ini akan memberi motivasi kepada pemain pada Sabtu ini,” kata Nidzam.

Selangor akan mencuba untuk memperolehi kemenangan pertama di tempat lawan sejak menewaskan Melaka 4-3 pada pusingan LS8. Pasukan kendalian B. Satiananthan akan bergantung kepada penyerang import Ifedayo Omosuyi, yang menjaringkan hatrik kedua peribadi beliau musim ini pada perlawanan LS18, dan Khyril Muhymeen Zambri, yang meledak dua gol dalam dua penampilan terakhir beliau.

Perlawanan Perak lwn Johor Darul Ta’zim akan disiarkan secara langsung di TV9 manakala semua perlawanan Pusingan LS19 akan disiarkan di iflix.