PREVIU – LIGA SUPER LS15

May 24, 2019



Jurulatih Selangor, B. Satiananthan akan mengambil pendekatan berhati-hati apabila pasukannya akan bertemu Terengganu FC (TFC) dalam perlawanan Liga Super malam ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Walaupun Irfan (Bakti) tidak melatih TFC lagi, mereka masih berbahaya. Saya telah mengingatkan pemain saya untuk memberi tumpuan kepada tugas mereka dan memenangi perlawanan.

“Persaingan untuk tempat kedua dan ketiga adalah ketat. Kami perlu konsisten untuk mencapai matlamat kami,” kata Sathianathan.

Pasukan Gergasi Merah berada dalam kedudukan baik dengan merekodkan dua kemenangan dan tiga seri dalam lima perlawanan lepas, tetapi mereka perlu konsisten dengan harapan untuk menghabiskan kempen di kedudukan kedua.

Selangor juga merupakan antara dua pasukan (selain Johor Darul Ta’zim) yang masih belum tewas di gelanggang lawan setakat ini.

Di bawah jurulatih sementara, Nafuzi Zain, Terengganu FC mencapai keputusan seri 1-1 dengan Felda United FC dalam aksi LS14 dan akan berusaha untuk memperolehi kemenangan pertama sejak menewaskan PJ City FC 2-1 pada 27 April.

Nafuzi berkata, "Selangor berada dalam keadaan yang baik tetapi kami berharap untuk memenangi perlawanan ini sebelum liga berehat (untuk perlawanan antarabangsa).

"Kami akan memperbaiki kelemahan kami semasa liga berehat untuk memantapkan lagi permainan.

"Untuk hari ini, saya telah mencuba berbagai taktik dalam latihan dengan harapan memperoleh keputusan positif,” kata Nafuzi.
Selangor berharap Ifedayo Omosuyi yang sudah menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan beliau setakat ini, dapat mempamerkan aksi mantap malam ini manakala pemain tumpuan pasukan tuan rumah ialah bekas penyerang Ultimate FC, yang telah meledak dua gol dalam dua perlawanan beliau untuk TFC.

Pada hari Sabtu, pemain-pemain Brazil baharu, Ronaldo dan Careca berharap dapat menjaringkan gol untuk membantu Perak mencatat kemenangan keempat mereka musim ini apabila melayan kunjungan Melaka di Ipoh.

Dua pemain ini telah pun bergabung untuk tiga gol dalam liga dan mereka akan berada dalam mood positif untuk mengegarkan pertahanan Melaka yang dikawal oleh Khairul Fahmi Che Mat yang berjaya mengutip lima “clean sheet” setakat ini.

Hanya satu mata memisahkan pasukan kelima liga, Melaka dan pasukan keenam, Perak, dan kemenangan esok untuk kedua-dua pasukan akan menawarkan peluang buat mereka mengejar Kedah dan Selangor.

Di Shah Alam, PJ City FC berada dalam kedudukan yang baik dengan tiga kemenangan secara berturut-turut dan pasukan K. Devan akan mencuba untuk meraih tiga mata lagi ketika bertemu PKNS FC.

Pasukan Semut Merah, hanya berjaya memungut satu mata dalam tiga perlawanan lepas.

Namun begitu, pemain tengah Romel Morales telah menyumbang tiga gol dalam empat perlawanan terakhir beliau manakala Kpah Sherman telah meledak kesemua enam gol di Stadium Shah Alam.

Perlawanan Pahang lawan Felda United FC yang dijadualkan pada hari Sabtu ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak bagi menghormati kemangkatan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari Rabu, 22 Mei 2019.

Pada hari Ahad, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menentang Kedah di Stadium Tan Sri Dato’ HJ Hassan Yunos, namun juara bertahan itu yakin untuk memperolehi kemenangan kelapan berturut-turut Liga Super di laman sendiri.

Penyerang JDT, Diogo dan Gonzalo Cabrera masing-masing telah menyumbang lapan gol dan Cabrera telah berjaya menjaringkan gol dalam enam daripada tujuh perlawanan beliau di Larkin.

Pasukan Harimau Selatan berada di puncak liga dengan kelebihan 10 mata ke atas pasukan tempat kedua, Pahang.

Kedah akan mencuba untuk menghentikan rekod kalah empat perlawanan terakhir di tempat lawan, dan berharap kepada sumbangan penyerang mereka, Jonatan Bauman yang telah menyumbang lima gol dan tiga bantuan gol setakat ini.

Kuala Lumpur dan PKNP FC akan bertemu di Cheras dengan kedua-dua pasukan berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan tiga mata.

KL berada ditempat ke-11 dengan 11 mata, satu tangga di bawah PKNP FC.

Perlawanan Terengganu FC lwn Selangor akan disiarkan secara langsung di TV9 manakala semua perlawanan Pusingan LS15 akan disiarkan di iflix.