PREVIU – LIGA PREMIER LP19

July 5, 2019



Ujian getir menanti Sabah yang berharap untuk menjuarai Liga Premier musim ini ketika bertandang ke Pasir Gudang untuk bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) malam ini.

Sabah mendahului liga dengan 34 mata selepas 16 perlawanan, diikuti JDT II dengan 33 mata.

Pengendali Sabah, Jelius Ating yakin mereka memiliki ramuan yang diperlukan untuk menewaskan JDT II walaupun mengakui ia bukan sesuatu tugas yang mudah.

“Kami sudah hampir untuk layak ke Liga Super namun ia bukan bermakna kami boleh selesa kerana inilah peluang terbaik untuk menjadi juara.

“Pemain perlu terus fokus dan saya mahu mereka sentiasa bersiap sedia untuk diturunkan. Saya yakin jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, kami mampu mengatasi segala rintangan,” katanya.

Bagaimanapun, Jelius risau kerana ramai pemain utama berisiko untuk digantung perlawanan.

“Kita memiliki beberapa pemain yang berisiko untuk digantung perlawanan seperti Park Tae-su, Mafry Balang, Randy Baruh dan Rodoljub Paunovic.

“Tetapi saya tidak mahu terlalu fokus dengan masalah ini. Saya mahu pemain untuk terus memberi tumpuan pada menghadapi perlawanan akan datang,” katanya.

Sabah akan bergantung pada Paunovic, penyerang Serbia yang meledak hatrik ketika menentang Sarawak pada pusingan LP18.

Namun begitu, JDT II telah berjaya mengutip lima “clean sheet” dalam sembilan perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang setakat ini dengan hanya membolosi lima gol. Pemain cilik JDT II, Ramadhan Saifullah Usman yang hanya berusia 19 tahun, telah menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir di laman sendiri.

Selain itu, Kelantan akan melayan kunjungan Selangor United di Kota Bharu malam ini dengan matlamat untuk mengumpulkan tiga mata yang penting. Pasukan Yusri Che Lah berada ditempat ke-10 dengan 11 mata, hanya satu mata di depan Sarawak.

Kemenangan keatas Selangor United akan memberi harapan kepada Kelantan untuk terus kekal di Liga Premier musim depan di samping memberhentikan rekod enam perlawanan tanpa kemenangan.

Bagaimanapun, Selangor United bukan lawan yang mudah kerana mereka juga ingin menang untuk mencerahkan peluang mereka layak ke Piala Malaysia buat kali pertama dalam musim pertama mereka di Liga Premier.

Tiga perlawanan akan berlangsung pada Sabtu dengan UiTM FC, yang menduduki tempat ketiga dengan 28 mata, melayan kunjungan PDRM di Shah Alam.

Jurulatih Ismail Zakaria mengharapkan pemainnya akan memberi komitmen 100 peratus untuk mencapai kemenangan keatas PDRM.

“Saya resah dengan kualiti persembahan pasukan saya sejak akhir-akhir ini. Kita kena bangkit. Jikalau kita tidak mencapai matlamat di perlawanan ini, peluang untuk promosi akan menjadi tipis,” kata Ismail. UiTM FC hanya mengumpul dua mata daripada empat perlawanan terakhir mereka.

PDRM pula telah memenangi lima daripada enam perlawanan terakhir mereka di tempat lawan, dan skuad Sang Saka Biru akan yakin untuk meneruskan rentak ini selepas pemain import baharu Uche Agba meledak gol-gol pertama beliau dalam perlawanan LP18.

Di Kuala Terengganu, Pulau Pinang berharap untuk merekodkan kemenangan ketujuh musim ini ketika bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk bertemu Terengganu FC II (TFC II).

Pasukan Manzoor Azwira Abdul Wahid berada di tahap yang baik setakat ini dengan mengutip 15 mata dalam tujuh perlawanan terakhir mereka.

Tetapi mereka mungkin akan melalui perlawanan yang sukar menentang TFC II yang menewaskan UKM FC 4-2 dalam perlawanan terakhir mereka pada 22 Jun.

Peluang Harimau Kumbang, yang berada di kedudukan kelima dengan 23 mata, untuk mencapai promosi masih cerah sekiranya mereka memenangi kesemua perlawanan-perlawanan mereka.

Namun begitu, pasukan pelawat terpaksa turun tanpa kelibat pemain pertahanan Che Mohamad Safwan Hazman dan Khairul Akmal Rokisham yang digantung perlawanan.

TFC II pula kebal di laman sendiri, dengan rekod tanpa bolos dalam enam daripada lapan perlawanan liga di sana. Bruno Suzuki meledak hatrik dalam perlawanan sebelum ini dan beliau sudah pasti akan berusaha untuk menambah jaringan untuk mengejar penjaring terbanyak Liga, Zarko Korac.

Selain itu, Sarawak akan melayan kunjungan Negeri Sembilan in Kuching dengan misi mengejar kemenangan ketiga musim ini untuk menghidupkan peluang untuk kekal di Liga Premier musim depan.

Pasukan Mat Zan Mat Aris, yang berada ditempat keenam dengan 22 mata, memerlukan tiga mata untuk terus memberi cabaran kepada pasukan-pasukan kelompok atas dan melayakkan diri ke Piala Malaysia.

Perlawanan-perlawanan berikut akan disiarkan secara langsung di mycujoo:
Jumaat – Johor Darul Ta’zim II lwn Sabah
Sabtu – UiTM FC lwn PDRM