PREVIU – LIGA PREMIER LP14

May 17, 2019



Aksi Liga Premier bersambung hari ini dengan dua perlawanan menarik pusingan LP14.

UKM FC akan memburu kemenangan pertama sejak 9 Mac ketika melawan Sabah manakala pasukan PDRM berharap untuk meneruskan momentum apabila bertemu Terengganu FC II (TFC II) di Kuala Terengganu.

Pasukan Sulaiman Hussin gagal mencapai kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir dengan hanya memperolehi tiga seri dan kini menduduki tempat kesembilan di carta liga.

UKM FC akan melayan kunjungan Sabah yang berada di tempat ketiga dengan 21 mata di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sulaiman, yang tidak merancang untuk mengukuhkan skuadnya dengan pemain-pemain baharu dalam jendela perpindahan kedua ini, percaya bahawa pasukannya akan menamatkan kemarau kemenangan mereka malam ini.

"Masalah kami ialah kami tidak mempunyai pemain tengah yang berkualiti untuk membuka permainan dan melancarkan serangan-serangan secara konsisten.

“Walau bagaimanapun, para pemain berkerja keras semasa latihan dan saya harap mereka boleh mendapatkan keputusan positif hari ini," kata Sulaiman.

"Sabah adalah pasukan besar dan kemenangan ke atas mereka akan memberi motivasi kepada pemain saya.

“Saya juga telah memberitahu pemain-pemain import saya untuk meningkatkan permainan dan menunjukkan intensiti hari ini."
Sulaiman juga menyentuh pasal sasaran untuk musim ini.

"Saya fikir paling terbaik yang kita boleh buat ialah mengelak daripada jatuh ke Liga M3 musim depan.

“Kami ingin juga untuk layak ke Piala Malaysia, jadi kemenangan hari ini adalah sangat penting," tambah Sulaiman.

Pemain-pemain import baru Sabah, Aguinaldo Veiga (Portugal) dan Ahmet Atayev (Turkmenistan) mungkin akan diturunkan hari ini.

"Kami berharap penyerang Aguinaldo dan pemain tengah Atayev akan memberi impak positif, walaupun mereka belum menyesuaikan diri dengan gaya permainan kami.

"Kami tidak mahu pulang dari Cheras tanpa sebarang mata. Saya tahu bahawa bermain di tempat lawan adalah sukar. Saya berharap kita boleh mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata," kata Jelius.

PDRM, di bawah jurulatih E. Elavarasan, telah memperolehi 14 mata dalam enam perlawanan terakhir Liga Premier, dan mereka berharap untuk meneruskan rentak ini ketika menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu.

PDRM berada di tempat keenam dengan 15 mata manakala TFC II menduduki tempat keempat dengan 19 mata.

"Terengganu FC II adalah pasukan yang kuat. Mereka mengutip satu mata dari kami bulan lepas dan saya menjangkakan perlawanan sukar hari ini.

"Kami bermain dengan baik setakat ini, namun saya tidak mahu menetapkan sasaran sukar untuk pasukan.

"Matlamat utama kami adalah untuk layak ke Piala Malaysia terlebih dahulu, dan dari sana, kami akan memikirkan pasal promosi (ke Liga Super)," kata Elavarasan.

TFC II tidak bolos dalam lima daripada enam perlawanan di laman sendiri setakat ini, manakala PDRM telah memenangi tiga perlawanan terakhir mereka di tempat lawan dengan keputusan 1-0. Penyerang Korea Selatan, Lee Chang-hoon telah menjaringkan ketiga-tiga gol tersebut.

Dalam perlawanan pada hari Sabtu, pendahulu liga Johor Darul Ta'zim II (JDT II) akan melawan Pulau Pinang di Pasir Gudang. JDT II, yang berada dua mata di depan UiTM FC, hanya memperolehi satu mata dalam dua perlawanan terakhir dan memerlukan tiga mata untuk terus mendahului liga. JDT II hanya bolos tiga gol dalam enam perlawanan di laman sendiri setakat ini.

Pulau Pinang berharap untuk meneruskan momentum positif mereka dengan sekurang-kurangnya satu mata di Pasir Gudang.
Pasukan Harimau Kumbang menewaskan Kelantan 4-1 minggu lepas dengan dua gol jaringan pemain import baharu, Sergio Aguero.

Selain itu, UiTM FC dijangka mencatatkan kemenangan kelapan musim ini apabila menentang Sarawak di Stadium UiTM Shah Alam.

Sarawak hanya mengumpul satu mata dalam empat perlawanan terakhir mereka.

Dalam satu lagi perlawanan, Negeri Sembilan akan melayan kunjungan Kelantan di Paroi and pasukan Mat Zan Mat Aris akan mengharapkan untuk meneruskan rentak kemenangan setelah jaringan pemain import baharu Igor Luiz membantu mereka raih tiga mata dalam perlawanan sebelum ini..

Kelantan akan menburu kemenangan pertama di tempat lawan sejak menewaskan UKM FC 1-0 pada 17 Februari.

Perlawanan-perlawanan berikut akan disiarkan secara langsung di mycujoo:
Jumaat – UKM FC lwn Sabah
Sabtu – UiTM FC lwn Sarawak