PREVIU – LIGA PREMIER LP10

April 19, 2019



Aksi Liga Premier kembali malam ini bermula dengan pertemuan antara Pulau Pinang dan pendahulu Liga Premier Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Bandaraya.

JDT II merupakan pasukan yang paling konsisten dalam Liga Premier manakala Pulau Pinang yang berada di tempat ke-9 dengan lapan mata akan mengejar kemenangan pertama sejak menewaskan Selangor United 2-1 pada 9 Mac.

Penyerang JDT II, Mohamad Ghaddar telah menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhirnya dan akan berusaha untuk meledak gol lagi untuk mengejar penjaring terbanyak Liga Premier setakat ini, Zarko Korac dan Robert Mendy (kedua-duanya pemain UiTM FC) dengan lima gol.

Pada Sabtu ini, PDRM berharap untuk memperolehi kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi liga apabila mereka bertemu Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Di bawah kendalian E. Elavarasan, PDRM mencatat kemenangan liga pertama dengan menewaskan Kelantan 1-0 di Kota Bharu pada 12 April tetapi mereka perlu mengekalkan prestasi begini untuk kekal dalam Liga Premier musim depan.

Pasukan TFC II tidak bolos dalam empat perlawanan liga setakat ini dan pastinya akan mencuba untuk memperolehi kemenangan ketiga di tempat lawan musim ini.

Sementara itu, Sabah akan melayan kunjungan UKM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu dengan tujuan untuk mengejar JDT II di puncak liga.

Pasukan tuan rumah telah menjaringkan 10 gol dalam lima perlawanan di tempat sendiri dan ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating berharap pasukannya mampu mencatatkan kemenangan pada hari Sabtu ini.

"Ramai pemain-pemain saya cedera dan ini telah menjejaskan momentum kita dalam dua perlawanan terakhir. Bagaimanapun, saya menjangkakan satu keputusan yang positif Sabtu ini. Para pemain telah bekerja keras dalam latihan dan mereka ingin membuktikan kemampuan mereka,“ ulas Jelius.

Selain itu, perlawanan ketiga pada hari Sabtu akan melibatkan pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan di Kota Bharu.

Sudah pastinya The Red Warriors akan mengejar kemenangan pertama di laman sendiri musim ini manakala Negeri Sembilan pula akan berusaha untuk menebus kekalahan mereka dalam aksi LP9 di Pasir Gudang dengan tiga mata penting.

Perlawanan tunggal pada hari Ahad akan menyaksikan pertembungan antara Sarawak dan UiTM FC beraksi di Stadium Negeri, Kuching pada pukul 4:15 petang.

UiTM FC merupakan pasukan dengan prestasi terbaik di tempat lawan dengan empat kemenangan dan satu seri serta mempunyai penjaring terbanyak Liga Premier setakat ini iaitu Robert Mendy dan Zarko Korac (lima gol).

Perlawanan-perlawanan berikut akan disiarkan secara langsung di mycujoo:
Sabtu – PDRM lwn Terengganu FC II dan Sabah lwn UKM FC
Ahad – Sarawak lwn UiTM FC