PREVIU – CHALLENGE CUP FINAL 1

October 4, 2019



Final 1 Challenge Cup 2019 akan berlangsung pada malam ini antara Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

JDT II mara ke pentas final selepas menang 4-2 secara agregat ke atas Terengganu FC II manakala UKM FC menewaskan Sarawak dengan keputusan aggregat 7-1.

Jurulatih JDT II, Boban menegaskan UKM FC bukan calang-calang pasukan dan kejayaan skuad Sulaiman Hussin layak ke final membuktikan mereka memiliki kualiti.

“Perlawanan malam ini amat penting buat kami untuk mencari bekalan selesa. Saya menjangkakan perlawanan yang sengit dan berintensiti tinggi. Kami harus berhati-hati dengan ancaman pasukan UKM FC.

“Walaupun mereka menamatkan saingan Liga Premier di kedudukan kelapan, ini bukan bermakna mereka tidak mempunyai kualiti.

Saingan aksi final timbal balik berbeza dengan saingan liga. Dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku.

“Kami tidak mahu melepaskan peluang memburu kejuaraan pertama Challenge Cup sebagai hadiah untuk DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Johor” kata Boban.

JDT II akan mengharapkan pemain tengah mereka, Nicolas Fernandez yang telah menyumbang enam bantuan gol setakat ini untuk mencipta peluang untuk penyerang seperti Mohamad Ghaddar dan Rozaimi Abd Rahman.

Dalam saingan Liga Premier, JDT II menang tipis 2-1 di Pasir Gudang tetapi tewas 2-3 kepada UKM FC di Cheras pada pusingan kedua liga.

JDT II dan UKM FC masih belum tewas dalam saingan Challenge Cup musim ini dan perjumpaan terakhir dua pasukan ini dalam pertandingan ini datang dalam peringkat separuh akhir musim lepas di mana The Varsity Boys menewaskan JDT II 2-1 secara agregat.

UKM FC mengakui JDT II merupakan pasukan yang berpengalaman namun skuad kendalian Sulaiman Hussin bertekad untuk menewaskan pasukan tuan rumah malam ini.

 “JDT II adalah sebuah pasukan yang berpengalaman. Saya sudah memberitahu pemain-pemain saya untuk tidak terlalu hormat berdepan status pemain-pemain JDT II.

“Pemain saya kenalah percaya kepada diri sendiri bahawa mereka juga adalah di kalangan pemain yang terbaik kerana layak ke perlawanan akhir. Saya harap mereka akan mengunakan kesempatan ini untuk menunjukkan permainan terbaik mereka.

“Hasrat kami untuk menjulang Challenge Cup adalah sangat tinggi kerana tahun lepas kami telah tewas kepada TFC II dalam perlawanan akhir.

“Oleh itu, saya percaya pemain-pemain juga mempunyai keinginan yang sama dan kami akan mengunakan kesempatan yang ada ini untuk berusaha lebih baik tetapi kami percaya JDT II juga akan turun dengan barisan pemain mereka yang sangat hebat.

“Pada perlawanan malam ini, kami akan lebih berhati-hati di Pasir Gudang. Kami berharap untuk membawa pulang bekalan dari Pasir Gudang supaya kami akan mendapat peluang yang lebih baik apabila bermain di laman sendiri nanti,” kata Sulaiman.

Sulaiman sekarang berada di Jepun untuk mengikuti kursus kejurulatihan (Lesen Pro AFC) selama dua minggu sehingga 14 Oktober.

Skuad UKM FC dikendalikan oleh pembantunya Juzaili Samion buat sementara waktu.

Milad Zanidpour dan Mateo Roskam, yang sudah meledak enam dan lima gol masing-masing, dijangka akan mengemudi jentera serangan malam ini.

Penjaga gol UKM FC, Khatul Anuar Jalil telah mengutip tiga “clean sheet” setakat ini, jumlah tertinggi dalam pertandingan musim ini.

Saksikan siaran langsung Final 1 Challenge Cup malam ini di mycujoo.