PREVIU – CHALLENGE CUP CC3

August 20, 2019



Aksi Challenge Cup bersambung malam ini dengan dua perlawanan menarik.

Dalam perlawanan Kumpulan A, Kelantan akan bertandang ke Kuching untuk bertemu Sarawak dengan kedua-dua pasukan berazam untuk menebus kekalahan dalam aksi sulung mereka kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

Untuk rekod, pertemuan Kelantan dan Sarawak pada saingan Liga Premier musim ini tampak seimbang apabila Kelantan mengikat Sarawak 1-1 di Kuching manakala aksi di Kota Bharu berkesudahan seri tanpa jaringan.

Pengendali The Red Warriors, Yusri Che Lah berharap pemainnya tidak akan melakukan kesilapan mudah yang akan merugikan pasukan dalam perlawanan malam ini.

“Walaupun bermain dengan baik, Kelantan terpaksa akur 0-1 kepada JDT II pada 14 Ogos lalu. Kita melakukan kesilapan dengan memberi gol mudah kepada pasukan lawan dan akhirnya kalah.

“Kita mempunyai peluang cerah untuk memungut tiga mata dalam perlawanan malam ini dan saya berharap pemain akan bermain dengan penuh disiplin dan mengikut strategi untuk menewaskan Sarawak,” kata Yusri.

Sarawak masih belum kalah dalam empat perjumpaan terakhir dengan Kelantan di Kuching dengan satu kemenangan dan tiga seri.

Kali terakhir Kelantan menumpaskan Sarawak di Bumi Kenyalang adalah pada musim 2015 dalam saingan Piala FA.

JDT II mengungguli Kumpulan A dengan enam mata manakala Kelantan dan Sarawak bakal merebut mata pertama dalam kempen Challenge Cup musim ini.

Di Cheras, UKM FC akan menerima kunjungan Kuala Lumpur dan pasukan Sulaiman Hussin berharap untuk mencapai kemenangan kedua mereka untuk terus mengungguli Kumpulan B.

UKM FC, yang telah mencapai satu kemenangan dan satu seri, berada ditangga teratas kumpulan di depan Terengganu FC II (TFC II) dengan kelebihan perbezaan gol.

“Kumpulan ini merupakan ‘kumpulan maut’ Challenge Cup kerana kesemua pasukan adalah kuat. Kuala Lumpur bukanlah lawan yang mudah dan mempunyai barisan serangan yang mantap.

“Kita kena memberi perhatian kepada pemain tengah mereka, Paulo Josue, yang bukan sahaja pandai mengatur perlawanan, tetapi juga merupakan penjaring terbanyak Challenge Cup setakat ini dengan empat gol.

“Saya telah memberitahu para pemain saya untuk menunjukkan semangat tinggi dan juga mengambil peluang untuk memastikan tiga mata,” kata Sulaiman.

Kuala Lumpur, yang akan beraksi di stadium sendiri akan bertemu UKM FC buat kali pertama.

Penyerang Warga Kota, Guilherme de Paula akan berusaha untuk menamatkan kemarau gol sepanjang tujuh perlawanan dalam perlawanan pada malam ini.

Pada hari Rabu, TFC II akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk bertemu Selangor United yang masih gagal memungut sebarang mata selepas dua aksi Kumpulan B.

TFC II berharap penyerang mereka, Bruno Suzuki dapat meneruskan momentum menjaringkan gol dalam perlawanan ini. Suzuki merupakan penjaring kedua terbanyak Piala Cabaran setakat ini dengan tiga gol.

Selangor United telah tewas tiga perlawanan berturut-turut dengan keputusan 3-1 tetapi skuad bimbingan Abdul Talib Sulaiman akan tampil dengan lebih yakin selepas menewaskan TFC II 3-1 dalam perjumpaan terakhir mereka di Selayang pada pusingan LP21 Liga Premier.

Penyerang Korea Selatan, Selangor United, Hwang Sin-young juga telah menyumbang lima gol dalam empat perlawanan di Stadium tersebut.

Saksikan siaran langsung semua perlawanan pusingan CC3 di mycujoo.