PERAK TETAP TENANG TANPA GOLEC

November 7, 2020



PERAK TETAP TENANG TANPA GOLEC

Ketiadaan pertahanan import, Antony Golec, yang telah membuat keputusan meninggalkan Perak sehingga penghujung musim ini tidak meresahkan pengendalinya, Mehmet Durakovic yang menyifatkan The Bos Gaurus masih ampuh untuk meneruskan saingan TM Piala Malaysia.

Malah, beliau optimis skuadnya sudah bersedia untuk menghadapi Kelantan United FC sepenuhnya pada malam ini di Stadium Perak, Ipoh biarpun dijangka membuat sedikit rombakan kecil ekoran beberapa pemain utama dilanda kecederaan.

Bagaimanapun Mehmet tidak mahu dibuai perasaan terlalu yakin yang mereka boleh menjinakkan lawan mereka itu yang berstatus Liga Premier kerana dalam saingan format kalah mati,segala-galanya mampu terjadi.

“Saya hormati keputusan Golec yang memilih untuk tidak lagi bersama pasukan dan pulang ke Australia tetapi kami sudah mampu maju ke hadapan serta hanya mahu beri tumpuan kepada TM Piala Malaysia.

“Masih ada pemain yang masih boleh disandarkan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Golec dan buat masa ini juga saya turut menguji pemain dari Perak II.

“Saya tetap mengharapkan kami mampu turunkan barisan terbaik tanpa mengambil kira siapa sahaja lawan kami kerana format kalah mati akan buatkan tiada lagi ruang buat mana-mana pasukan yang tewas.

“Cuma Perak mungkin tidak dapat turun dengan kekuatan sepenuhnya kerana Hafiz Ramdan, Guiherme de Paula dan Thierry Chantha Bin masih belum pulih daripada kecederaan dan saya cuba lihat pilihan pemain lain,” katanya.

Dalam masa sama, Mehmet mengingatkan pemainnya agar berwaspada dengan Kelantan United FC yang membuat kemunculan sulung pada saingan TM Piala Malaysia.

Biarpun lawan mereka itu sekadar menamatkan saingan di tangga ke-8 Liga Premier, Mehmet berasakan Kelantan United FC sebenarnya sebuah pasukan yang ada kualiti tersendiri kerana ditunjangi ramai pemain berpengalaman.

“Dalam saingan sebegini, semua pasukan sebenarnya sama kerana sebarang rekod lalu sudah tidak diambil kira malah siapa yang buat kesilapan,mereka akan dihukum.

“Biarpun ramai tidak berikan tumpuan kepada Kelantan United, saya pula tidak fikir sebegitu kerana mereka ada pemain-pemain senior yang bagus serta pemain import yang ada kualiti tersendiri.

“Formulanya mudah bagi pada saya, siapa yang mengambil peluang dan tidak hilang fokus, pasukan itu akan muncul pemenang, maka saya harapkan mental semua pemain berada di tahap terbaik nanti,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali PJ City FC, K. Devan mengingatkan barisan pemain untuk sentiasa memberi perhatian kepada tonggak utama lawan mereka, Terengganu FC yang pastinya tidak akan memberi laluan mudah pada perlawanan malam ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Lee Tuck, Dominique Da Sylva dan Faris Ramli antara yang perlu dikawal skuad PJ City dalam memastikan mereka tidak dibolosi selain perlu menggunakan apa sahaja ruang di hadapan mata untuk mencari jaringan.

Semestinya, Devan cukup mengharapkan musim ini akan berpihak kepada pasukannya untuk mara lebih jauh apatah lagi perlu berdepan perlawanan pusingan pertama dengan format kalah mati yang menyaksikan peluang lebih terbuka untuk mana-mana pasukan sekalipun tidak kira bagaimana pencapaian mereka dalam saingan liga.

“Sekarang persiapan kami berjalan dengan lancar walaupun dengan cabaran tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini.
“Cuma saya sentiasa ingatkan pemain saya, TFC mempunyai pemain yang mampu membahayakan pasukan kita dan untuk itu, kita tidak boleh beri sebarang peluang kepada mereka untuk menguasai perlawanan.

“Bagi saya, TFC adalah pasukan yang cukup baik dan kami memang tidak boleh pandang sebelah mata kemampuan yang mereka ada, jadi bagi saya, kami masih pasukan “underdog”, dan apa-apa pun pemain perlu berusaha untuk cuba mara sejauh mungkin”, katanya.

Saksikan siaran langsung perlawanan Perak lwn Kelantan United FC dan Terengganu FC lwn PJ City FC di unifi TV, aplikasi unifi playTV dan YouTube unifi.

#TMPialaMalaysia2020