PERAK FC DIKENAKAN HUKUMAN PEMOTONGAN TIGA MATA LIGA PREMIER 2022

April 1, 2022



Badan bebas, First Instance Body (FIB) hari ini mengumumkan bahawa Perak FC telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta-merta bagi saingan Liga Premier 2022 di atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan reserve team sehingga November 2021 berdasarkan Akuan Berkanun (SD) yang dihantarkan oleh Perak FC bertarikh (15 Disember 2021).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa berkenaan kes tunggakan yang berlaku pada musim 2021.

Menurut Sheikh Mohd Nasir, Perak FC gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada tarikh pertama yang ditetapkan oleh FIB iaitu pada 31 Mac 2022.

“Pihak pengurusan Perak FC sebelum ini telah bersetuju untuk menjelaskan baki tunggakan gaji tahun lalu melibatkan pemain dan pegawai pasukan utama dan reserve team berjumlah RM 934,729.42 pada 31 Mac 2022 namun mereka didapati gagal untuk berbuat demikian.

“Justeru itu, Jawatankuasa FIB yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menjatuhkan hukuman pemotongan tiga mata kepada Perak FC.

“Jika Perak FC masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir kedua (14 April 2022) maka pada 15 April 2022, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Premier dan pengurangan dana” katanya.

Tambah Sheikh Mohd Nasir lagi, sekiranya Perak FC masih gagal membuat bayaran tunggakan gaji tersebut sebelum atau pada 21 April 2022, maka pada 22 April 2022 MFL akan memanjangkan kes ini kepada FIB bagi tindakan lanjut.

Untuk rekod bagi kes tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan pertama dan reserve team tahun lalu, MFL telah menghantar surat pekeliling kepada Perak FC pada 15 November 2021 untuk menyerahkan akuan bersumpah (SD) semua bayaran berkenaan.

Kemudian pada 15 Disember 2021 Perak FC telah memuat naik SD ke dalam sistem AFC CLAS.

Pada 11 Januari 2022, Perak FC telah menghantar e-mel mengenai jumlah tunggakan pembayaran gaji sehingga November 2021 melibatkan pemain dan pegawai, LHDN, KWSP dan PERKESO.

Pada 9 Mac 2022, MFL telah menghantar surat kepada Perak FC untuk mengarahkan agar bayaran tunggakan pemain dan pegawai bagi pasukan utama dan reserve team dijelaskan sebelum 31 Mac 2022 bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.

Pada 25 Mac 2022, MFL telah menghantar peringatan pertama kepada Perak FC dan disusuli  peringatan kedua pada 29 Mac 2022.

Pada 30 Mac 2022, Perak FC telah menghantar surat permohonan untuk melanjutkan tarikh akhir walau bagaimanapun, pada 31 Mac 2022 Jawatankuasa FIB melalui MFL telah membalas surat Perak FC dengan menolak permohonan tersebut.

Isu kemelut gaji Perak FC bagi tahun 2022, pihak sekretariat MFL telah membuat semakan di mana bermula 9 Mac 2022, MFL telah menuntut bukti bayaran dan  laporan kewangan Perak FC bagi musim 2022 susulan masalah kelab itu yang gagal menyelesaikan dua bulan tunggakan gaji pegawai dan pemain musim ini. MFL juga berhubung rapat dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam tindakan ini.

Namun pihak pengurusan Perak FC gagal mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan kedudukan kewangan mereka serta laporan pembayaran tunggakan gaji pegawai dan pemain musim ini pada tarikh akhir 16 Mac 2022.

Perak FC melalui emel telah membalas kepada MFL dengan menghantar dua laporan iaitu perjalanan aliran tunai 2022 dan tunggakan gaji untuk Januari sehingga Februari 2022 pada 15 Mac 2022.

Dua hari kemudian, MFL membalas surat Perak FC dengan menyatakan maklumat yang diserahkan tidak mencukupi untuk membuktikan Perak FC mampu bertahan sehingga ke penghujung musim 2022.

MFL telah menerima surat daripada Perak FC berhubung pelabur baharu yang berminat untuk mengambil alih melalui surat tawaran (LOI) pada 19 Mac 2022 dan Perak FC menghantar pemakluman mengenai tawaran mengambil alih dan pemilikan Perak FC Sdn. Bhd pada 21 Mac 2022.

Bagaimanapun, Perak FC belum menghantar sebarang butiran rasmi atau bukti berkenaan kemampuan pelabur baharu (Proof of funds) yang bersedia untuk mengambil alih Perak FC pada atau sebelum 22 Mac 2022. Sekiranya Perak FC masih gagal mengemukakan dokumen rasmi sehingga 22 April 2022, kes ini akan dibawa kepada FIB untuk pertimbangan lanjut sebelum Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan mengenai status Perak FC.