PENGLIBATAN MFL SENTIASA RELEVAN KEPADA RAKAN KONGSI LIGA

January 7, 2019



Berikutan pertanyaan pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengenai keinginan Malaysian Football League (MFL) membantu dalam masalah yang sedang dihadapi, pihak KFA perlu tahu bahawa mereka bertanggungjawab kepada perlembagaan MFL serta rakan kongsi mereka yang lain dalam MFL. Pihak MFL mahu membantu KFA memahami apa terkandung dalam perjanjian dan undang-undang yang sedia ada. Ini termasuk perkara-perkara berkaitan perancangan MFL dalam operasi dan pengurusan liga telah dijelaskan kepada semua pasukan dalam perjumpaan baru-baru ini yang dihadiri oleh semua pasukan kecuali Kedah. Penglibatan MFL dalam mana-mana isu seperti ini adalah amat relevan untuk menjaga kepentingan Liga Malaysia serta rakan kongsi yang lain yang merupakan 23 pasukan lain serta FAM. 

Oleh itu MFL telah menjemput KFA untuk membincangkan isu berkaitan Liga Malaysia 2019. Jemputan telah dihantar kepada KFA bagi mengadakan perbincangan pada 10 Januari 2019.

Pada 3 Januari 2019, MFL telah menjemput semua rakan kongsi liga terdiri daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan 24 buah pasukan yang bertanding untuk membincangkan berkenaan isu ejen pemain, kontrak pemain, perlembagaan MFL, jadual pertandingan dan hal lain berkaitan liga. Walau bagaimanapun, pihak KFA tidak hadir pada saat akhir.

Sebagai badan pentadbir liga bola sepak Malaysia, MFL sentiasa mengambil berat permasalahan setiap pasukan dan KFA juga terikat dengan peraturan sama seperti 24 rakan kongsi yang lain.

MFL sentiasa berusaha dalam menambah baik imej liga dan melindungi rakan kongsi daripada terus dilanda kontroversi. MFL berharap perbincangan dengan KFA dapat direalisasikan bagi jalan penyelesaian terbaik isu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL
Kevin Ramalingam