PENAWAR DUKA SARAWAK UNITED – UCHE AGBA

November 9, 2021



Kejayaan layak ke suku akhir TM Piala Malaysia 2021 dilihat sebagai penawar buat Sarawak United FC selepas kegagalan menjuarai Liga Premier.

Penyerang Sarawak United, Uche Agba berkata, pencapaian berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik juga membuktikan mereka mempunyai sebuah skuad yang ampuh dan mampu bersaing dengan sesiapa sahaja.

Tambah membanggakan, Agba akui gembira melihat Sarawak United muncul satu-satunya pasukan dari Liga Premier yang mampu melangkah dari peringkat kumpulan.


“Saya rasa kemampuan kami melangkah ke suku akhir menunjukkan skuad ini ada kualiti selepas apa yang terjadi di Liga Premier apabila kami gagal memenangi trofi Liga Premier.

“Kami tewas dalam perlawanan penting yang menyaksikan peluang bergelar juara berakhir begitu sahaja dan sekurang-kurangnya untuk saingan Piala Malaysia, kami buktikan sebaliknya.

“Ini adalah satu hadiah terbaik buat pemain selepas bekerja keras sepanjang musim ini kerana kami tidak berada dalam kumpulan yang mudah.

“Saya cukup kagum melihat rakan-rakan mampu berjuang terutamanya selepas tewas 0-4 kepada Kuala Lumpur City namun dalam beberapa hari kemudian, kami berjaya mengikat lawan yang sama dengan keputusan seri 2-2, ini menjadi antara detik kepada kebangkitan kami dalam saingan Piala Malaysia,” katanya.

Agba menjadi antara watak penting kepada jaringan kemenangan yang dihasilkan Abdul Rahim Abdul Razak pada minit-94 ke atas Sri Pahang FC, Ahad lalu.

Melalui larian derasnya dari sebelah kiri, hantaran silangnya berjaya ditolak mudah Abdul Rahim sekali gus memberikan kemenangan 2-1 pada aksi berlangsung di Stadium Darul Makmur.

Dalam kempen TM Piala Malaysia, penyerang berusia 35 tahun ini telah meledak 4 gol manakala di pentas Liga Premier, bekas penyerang PDRM FC dan Melaka ini menjaringkan 14 gol.

Mengenai aksi terakhir bertemu Penang FC di Stadium UiTM, Shah Alam, Agba tetap mahukan kemenangan buat pasukannya biarpun sebarang keputusan sudah tidak menjejaskan peluang Sarawak di suku akhir.

“Kami mahu gunakan perlawanan ini untuk perbaiki sebarang kelemahan yang terdapat dalam pasukan dan tidak akan turun hanya untuk sekadar melengkapkan jadual.

“Tiga mata menjadi sasaran kami dan tiada niat untuk hadapi perlawanan ini sambil lewa sambil berharap Sarawak United dapat mengakhiri cabaran di kumpulan dengan kemenangan.

“Di saingan suku akhir, kami sedia hadapi sesiapa sahaja dan saya gemar Sarawak United di anggap sebagai underdog berbanding pasukan lain yang telah layak,” katanya.

Satu lagi perlawanan yang turut berlangsung di Kumpulan A ialah membabitkan Sri Pahang FC dan Kuala Lumpur City di Stadium Darul Makmur.