PEMAIN MUDA PACU PEREBUTAN KEJUARAAN

April 1, 2019



Perebutan kejuaraan Liga Super terus sengit dengan Pahang merampas kedudukan teratas daripada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selepas tujuh perlawanan Pahang dan JDT kini berkongsi 17 mata namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan manakala Kedah mengekori di tangga ketiga dengan 12 mata manakala PKNS FC 11 mata.

Apa yang menarik cabaran dua pasukan teratas itu dipacu oleh pemain muda dengan Zuhair Aizat Nazri membantu Pahang menewaskan Felda United FC 3-1 manakala Safawi Rasid menyinar ketika membantu JDT seri 1-1 dengan Kedah minggu lalu.

Pemain tengah Zuhair Aizat, 22, dianggap permata baru buat skuad Tok Gajah apabila kerap merencana bahagian serangan serta mencipta peluang buat Faisal Abdul Halim meledak gol ketiga dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka itu.

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan untuk melihat aksi cemerlang Zuhair yang mendapat kepercayaan pengendali Dollah Salleh selepas dia menjaringkan gol tunggal perlawanan menewaskan Kedah pada aksi keenam Liga Super.

“Alhamdulilah saya berpuas hati selepas tiga minggu kita tidak ada perlawanan persahabatan (liga berehat aksi antarabangsa), saya khuatir pemain tak dapat ikut rentak tapi alhamdulillah rentak permainan kami tak hilang.

“Saya berpuas hati dengan prestasi Zuhair malam ini, dia banyak cipta peluang, melakukan serangan,” kata Dollah.

Sementara itu Safawi, 22, yang baru selesai dengan tugasan bersama skuad bawah 23 tahun negara (B-23) mengharungi kempen kelayakan AFC menjadi antara watak penting untuk JDT membawa pulang satu mata dari Darul Aman.

Sepakan percuma kaki kiri Safawi terus berbisa apabila menghadiahkan gol pembukaan pada minit ke-10 sebelum Kedah menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi Fernando Rodriquez.

Bagi pengurus kelab Harimau Selatan itu, Luciano Figueroa beliau berpuas hati dengan persembahan pemain namun menegaskan semua pemain perlu meningkatkan prestasi untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

“Saya fikir kami seharusnya menang, kami mencipta banyak peluang tapi gagal menyempurnakannya. Kami perlu meningkatkan permainan, terus gigih berlatih dan tidak melakukan kesilapan.

“Kami membuat keputusan untuk menurunkan Safawi kerana dia berada di tahap terbaik. Dia mahu bermain, mahu memenangi perlawanan ini, menunjukkan sikap yang bagus dan dia juga pemain terbaik di negara ini,” katanya.