PELUANG YANG SUKAR DITOLAK – KHAIRU AZRIN

December 6, 2021



Minat yang mendalam ditunjukkan ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak serta reputasi besar pasukan di Liga Malaysia membuatkan pemain tengah berpengalaman, Khairu Azrin Khazali akui sukar menolak tawaran untuk menyertai skuad Hijau Kuning pada musim 2022.

Dua faktor itu membuatkan dia yakin keputusan bersama Kedah adalah tepat dan berharap kariernya akan terus bersinar selepas berjaya melalui dua musim yang penuh cemerlang di Penang FC.

Biarpun sedar dia perlu bersaing dengan ramai pemain lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, pemain berusia 31 tahun menganggap itu adalah lumrah dalam mana-mana karier pemain bola sepak profesional.

“Sebenarnya Kedah sudah lama menyatakan hasrat untuk mendapatkan saya melalui kesungguhan serta minat yang ditunjukkan jurulatih mereka, Aidil.

“Melihatkan caranya yang begitu serius mahukan saya bersama Kedah nyata membuatkan saya terbuka hati dan pada masa sama, saya amat hormati Kedah yang merupakan sebuah pasukan punyai nama besar serta reputasi tersendiri dalam Liga Malaysia.

“Setelah fikirkan masak-masak, barulah saya buat keputusan untuk bersama Kedah dan harap saya akan memperoleh banyak pengalaman baharu di sana.

“Saya sedar perlu bersaing dengan ramai pemain lain seperti Fadzrul Danel dan Asnan Ahmad tetapi itu adalah adat dalam dunia bola sepak profesional,” katanya.

Selain Khairu Azrin, Kedah juga menyambar tiga lagi pemain lain Penang iaitu Amer Azahar, Al Hafiz Harun dan Azmeer Aris bagi saingan musim 2022.

Khairu sebelum ini banyak mencipta nama di PKNS FC dari 2011 hingga 2015 sebelum melalui pasang surut dalam kariernya apabila menyertai Melaka, Felda United FC, Terengganu FC dan Penang FC.

Beraksi selaku pemain tengah di posisi 6 selama dua musim, Khairu Azrin sememangnya menjadi nadi utama yang membantu kestabilan bahagian pertahanan Penang FC.

Setelah membantu Penang FC muncul juara Liga Premier pada musim 2020, Penang FC berjaya menamatkan cabaran di tangga ketiga Liga Super namun prestasi di saingan TM Piala Malaysia 2021 sedikit mengecewakan apabila tersingkir di peringkat kumpulan.

Dalam pada itu, Khairu memberikan penghargaan kepada pengurusan Penang FC yang telah memberikannya ruang membina semula karier selepas lalui detik yang suram semasa di Terengganu FC.

“Segala jasa Penang tidak akan dilupakan kerana di sinilah saya rasa karier ini kembali naik dan ramai mula dapat melihat semula kemampuan saya.

“Dua musim yang istimewa di Penang yang saya tidak lupakan selain penyokong-penyokongnya yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan,” katanya.