PELUANG SAM SOMERVILLE AKAN TIBA – MICHAEL FEICHTENBEINER

May 19, 2022



Ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner menjelaskan bahawa peluang penjaga gol, Sam Somerville untuk diturunkan dalam kesebelasan utama akan tiba meskipun bersaing sengit dengan Khairulazhan Khalid ketika ini.

Jelasnya, dua penjaga gol ini sentiasa menghadirkan persaingan sengit antara satu sama lain dan beliau jelas berpuas hati dengan usaha yang ditampilkan oleh mereka untuk terus memberikan yang terbaik.

Namun, untuk masa sekarang Feichtenbeiner menganggap Khairulazhan berada di tahap terbaik untuk terus beraksi dalam skuad utama.

“Saya gembira dengan apa yang telah dilakukan olehnya (Sam Somerville) di mana saya ada seorang penjaga gol kebangsaan (Khairulazhan Khalid) dan penjaga gol simpanan seperti Sam yang begitu cemerlang ketika ini.

“Kita akan ada banyak lagi perlawanan dalam Jun, Julai dan Ogos, jadi saya semestinya masih memerlukan dua penjaga gol ini di mana setiap hari mereka bersaing sesama sendiri dan ini adalah situasi yang bagus untuk saya.

“Mestilah sedikit tidak adil untuk Sam sebab dia juga layak untuk bermain, tetapi saya kena memilih seorang sahaja untuk beraksi, jadi sekarang saya pilih Khairulazhan terlebih dahulu untuk masa sekarang”, katanya.

Bercakap mengenai prestasi pasukan ketika ini yang telah bolos sebanyak sembilan gol dalam lima perlawanan, Feichtenbeiner enggan melihat situasi itu dari sudut yang negatif.

Sebaliknya, beliau lebih melihat kepada 12 jaringan yang telah berjaya dilakukan anak buahnya setakat ini dengan dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

“Bagi saya, memang tidak mudah untuk melihat sembilan gol bolos, tetapi kami juga telah menjaringkan sebanyak 12 gol.

“Kadang-kadang kita kena terima yang kita masih tiada ‘clean sheet’.

“Itu pendapat saya dan gaya saya, saya lebih gembira dengan 12 gol, tetapi sudah tentu kita kena bersedia dengan pertahanan pasukan yang lebih baik selepas ini”, katanya.

Selangor telah kembali memulakan latihan pada Isnin lalu selepas berehat panjang dan akan mengadakan empat siri perlawanan persahabatan dalam tempoh hampir lima minggu saingan liga yang kini berehat bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan.