PDRM BUKA HALUAN BAHARU DALAM KARIER – AZRIE REZA

December 24, 2021



Keputusan memilih haluan ke PDRM FC pada pertengahan musim 2021 nyata berjaya mewarnai kembali karier Azrie Reza Zamri yang terus menjadi taruhan utama The Cops pada musim depan.

Setelah kecewa kerana sukar menembusi barisan kesebelasan utama Penang FC sepanjang saingan Liga Super 2021, pemain berusia 24 tahun itu akhirnya lega kerana berpeluang membuktikan kewibawaan bersama PDRM FC di Liga Premier.

Justeru dia berharap musim 2022 akan menjadi musim yang lebih gemilang dalam kariernya setelah diberikan ruang untuk beraksi selain mahu membawa The Cops memburu kedudukan yang lebih baik di pentas Liga Malaysia.

 

“Semasa bersama dengan Penang pada 2020, saya kerap diberi ruang untuk bermain dan berjaya membantu pasukan menjuarai Liga Premier.

“Namun selepas ke Liga Super, saya akui sukar tembus dalam kesebelasan utama memandangkan ramai pemain tempatan berpengalaman serta pemain import.

“Jadi apabila tawaran dari PDRM di pertengahan musim, saya memang tidak berfikir panjang demi kelangsungan karier memandangkan tidak mendapat minit permainan di Penang.

“Keputusan itu tepat dan saya lega kerana diturunkan dalam semua perlawanan sejak sertai PDRM malah berjaya menjaringkan satu gol, saya anggap ini sebagai satu permulaan baharu kembali dalam karier dan bertambah manis saya telah diberikan kontrak baharu pada musim depan, ” katanya.

Memulakan karier bersama Kedah di skuad Piala Presiden, dia menyertai skuad Piala Presiden Pulau Pinang pada tahun 2018 sebelum dinaikkan pangkat bersama pasukan senior, dua tahun berikutnya.

Pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu turut mengakui kehadiran ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail juga menjadi faktor dia memilih bersama PDRM kerana mereka berdua pernah saling mengenali semasa di Penang.

Walaupun Wan Rohaimi pada waktu itu merupakan ketua jurulatih Piala Presiden namun beliau telah mengikuti rapat aksinya bersama seorang lagi rakan sepasukan, Nurfais Johari.

“Jurulatih (Wan Rohaimi) juga orang yang bertanggungjawab membawa saya ke sini semasa pertengahan musim itu kerana beliau kenal saya dan Nurfais.

“Mungkin kerana pernah menyaksikan kami bermain, beliau terpanggil untuk beri ruang kepada saya dan Nurfais untuk beraksi di PDRM.

“Saya senang bekerjasama dengan beliau yang banyak memahami cara permainan kami berdua dan harap dapat membantunya dalam menaikkan nama PDRM di Liga Premier,” katanya.