PDRM BELUM PUTUS ASA

April 27, 2022



Prestasi yang serba tidak menentu PDRM FC pada lima perlawanan awal Liga Premier belum membuatkan pengendalinya, Wan Rohaimi Wan Ismail menekan butang panik.

Walaupun akui pasukannya perlahan, beliau melihat pasukannya mampu bangkit jika pemain-pemain muda dalam pasukan dapat tangani tekanan tiap kali beraksi di atas padang.

Itu menjadi aspek kelemahan utama diperhatikan Wan Rohaimi terhadap pemain-pemain selain aspek kesilapan yang memberikan banyak gol mudah kepada pihak lawan.

“Kalau tengok carta liga, saya rasa PDRM tidak sepatutnya berada di kedudukan sekarang dan saya berkata demikian bukan sebab saya jurulatih pasukan.

“Cuma dari segi persiapan yang kami telah lakukan serta kualiti pada pasukan, kami sepatutnya boleh berada dalam kedudukan tiga terbaik.

“Selain momentum persiapan menjelang tiga minggu liga bermula ada terganggu atas beberapa faktor seperti cuaca dan impak penularan COVID-19,saya perhatikan pemain-pemain muda juga tidak dapat berikan yang terbaik ekoran bermain bawah tekanan.

“Bila dari perlawanan ke perlawanan mereka mendapat keputusan yang negatif, situasi itu sedikit banyak menjejaskan moral pemain yang kebanyakannya pertama kali menyesuaikan diri dengan suasana Liga Premier.

“Berdepan Kuching City, saya yakin satu kebangkitan boleh dilakukan oleh pemain-pemain dalam usaha kita terus perbaiki kedudukan di liga,” katanya.

Dua kemenangan yang diperoleh PDRM ialah ketika berdepan Perak FC (3-1) selain Terengganu FC II (2-1) dan tewas dalam tiga perlawanan lain, tidak termasuk 0-2 kepada Perlis United FC pada pusingan pertama Piala FA.

Buat masa ini PDRM berada di tangga ketujuh, berkongsi mata yang sama dengan Kuching City FC namun skuad kendalian Irfan Bakti itu baharu beraksi dalam tiga perlawanan.

Berdepan Kuching pada Khamis di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Wan Rohaimi akui tugas getir bakal menanti PDRM.

“Perlawanan ini pasti sengit dan mencabar buat kami kerana lawan ada kekuatan tersendiri sepanjang yang saya lihat.

“Saya yakin boleh dapat 3 mata jika kami boleh peraga kekuatan sebenar kerana kami pernah menewaskan Terengganu FC II di tempat sendiri kerana kekuatan kebanyakan pasukan adalah setara.

“Harap esok kami dapat apa yang dihajati bagi mendapatkan keputusan positif ke atas Kuching, ” katanya.

Saksikan siaran langsung semua perlawanan Liga Premier musim ini di YouTube MFL.