NAZIRUL NAIM AKUI GEMURUH

June 9, 2021



Pemain pertahanan Sabah FC, Nazirul Naim Che Hashim mengakui aspek keserasian menjadi cabaran utama apabila hanya akan berlatih bersama pasukan baharunya itu sebaik sahaja tamat tempoh kuarantin 14 hari.

Memasuki hari ke 8 kuarantin pada hari ini (Rabu) di Sabah, bekas pertahanan Perak FC ini tetap melakukan latihan sendiri di rumah memandangkan rakan sepasukan lain sudah pun mula melakukan latihan secara Camp Based Training sejak Isnin lalu.

Namun begitu, pemain berpengalaman ini tidak menolak rasa gemuruh tetap ada untuknya mencipta keserasian terbaik bersama skuad sambil menyifatkan ini merupakan pengalaman baharu untuknya selepas enam tahun bersama Perak.

Apa yang pasti, Nazirul ingin membuktikan keputusannya berhijrah ke Sabah adalah berbaloi bagi meningkatkan pencapaian peribadi selain memberi impak lebih besar kepada skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto.

“Sekarang ini, saya memang kena berlatih di rumah sahaja sebab masih dalam kuarantin dan pasukan juga ada menyediakan segala peralatan untuk saya berlatih, jadi tiada masalah besar untuk saya.

“Nak kata gembira atau tak gembira tu, susah juga nak cakap sebab sekarang ini saya belum berkesempatan lagi nak jumpa pasukan baru ini, dan memang sedih sebenarnya apabila tinggalkan Perak, tetapi saya ambil benda ini sebagai cabaran untuk saya buat yang terbaik.

“Ini memang akan jadi pengalaman baru untuk saya, jadi memang banyak benda nak kena buat, nak kena kenal semua rakan-rakan baru dalam pasukan, semua itu bukan senang.

“Cuma paling penting, saya harap dengan kemasukan saya di sini, saya dapat lebih minit permainan dan dapat bangkit untuk tahun 2021 sebab di Perak pun prestasi saya tidak konsisten,” jelasnya.

Dalam masa sama, pemain berusia 28 tahun ini mengharapkan Perak FC terus berjuang untuk baki saingan Liga Super ini meskipun tanpa kudratnya apatah lagi selepas berdepan pelbagai masalah musim ini.

Walau bagaimanapun, Perak tetap beri kenangan yang tidak boleh dilupakan Nazirul dan percaya barisan pemain Perak yang masih ada mampu bangkit selepas ini.

“Terlalu banyak kenangan di Perak sebab dan hadap susah senang di sana, kawan-kawan juga banyak bagi sokongan dan pernah merasa julang piala sama-sama, ia memang kenangan manis.

“Untuk pemain-pemain Perak yang masih ada, saya percaya mereka masih ada kualiti yang baik kerana setiap pemain ada kelebihan tersendiri dan mereka boleh berjuang untuk selamatkan Perak daripada tersingkir dari Liga Super”, tambahnya.

Selain Nazirul, Shahrul Saad, Shakir Hamzah, Kenny Pallraj, Guilherme De Paula, dan J. Partiban juga turut sama angkat kaki daripada pasukan Perak untuk baki saingan Liga Super musim ini.