MYCUJOO CETUS KEMERIAHAN LIGA PREMIER

February 4, 2019



Perlawanan pertama Liga Premier yang berlangsung minggu lalu jelas membuktikan saingan divisyen dua itu memiliki tarikan tersendiri.

Selain kehadiran penyokong ke stadium, perlawanan siaran langsung Liga Premier menerusi aplikasi mycujoo jelas menyuntik kemeriahan baru kepada bola sepak tanah air.

Perkara itu diakui sendiri kapten Sabah, Rawilson Batuil yang gembira dengan perkembangan baru yang diusahakan oleh badan pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) yang membawa masuk penyedia perkhidmatan televisyen Internet mycujoo sebagai rakan penaja rasmi musim 2019.

“Siaran langsung perlawanan Liga Premier oleh mycujoo ini adalah langkah bagus kerana memberi peluang kepada penyokong yang tidak berkesempatan menyaksikan perlawanan di stadium.

“Bagi penyokong Sabah, memang agak susah untuk mereka bertandang ke stadium terutama apabila menentang pasukan di tempat lawan kerana jarak yang agak jauh. Bila ada siaran langsung di Internet ini, penyokong boleh melihat dan menilai sendiri permainan pasukan dan bukan hanya membuat kritikan berdasarkan keputusan perlawanan semata-mata,” katanya.

Menerusi kerjasama MFL dan mycujoo ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan perlawanan Liga Premier akan disiarkan.

Sementara itu bagi wartawan Harian Metro Rizar Mohd Noor, usaha MFL dan mycujoo ini membuktikan pasukan Liga Premier tidak dipinggirkan.

“Walaupun Liga Premier adalah saingan kelas kedua tapi pasukan-pasukan yang bersaing dalam liga itu tetap mempunyai pengikut dan penyokong tersendiri. Dalam era penggunaan Internet yang semakin meluas, penyokong boleh menyaksikan perlawanan pada bila-bila masa dan di mana saja mereka berada.

“Kita akui ada kelab seperti Selangor United, UKM FC, UiTM FC tidak memiliki kelompok penyokong yang ramai seperti pasukan negeri jadi menerusi siaran langsung ini akan mendedahkan kelab ini kepada umum untuk mewujudkan ‘fan base’ mereka sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, peminat dari Kuala Terengganu, Ahmad Aiman Aizaq Mohd Yadi mengakui penglibatan mycujoo adalah satu pendekatan baharu yang memberikan manfaat kepada penyokong bola sepak Malaysia khususnya kelompok dari Liga Premier musim ini.

“Kita tahu sebelum ini fokus adalah kepada Liga Super tetapi mycujoo memberikan satu perkhabaran gembira kepada peminat bola sepak tempatan apabila mereka bersama MFL bersama-sama memberikan siaran langsung perlawanan Liga Premier.

“Selain Terengganu FC (TFC I), saya bersama peminat-peminat yang lain sudah pasti tidak mahu ketinggalan menyaksikan TFC II bermain di Liga Premier dan kini kami gembira siaran langsung Liga Premier turut dititikberatkan,” katanya.