MORA TABIK PERSEMBAHAN TERENGGANU FC

April 11, 2022



Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak mendabik dada selepas pasukannya berjaya meraih tiga mata penuh dengan kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, pada Ahad.

Sebaliknya, beliau memberikan pujian kepada lawan yang telah berikan persembahan cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan.

Namun, dia gembira kerana JDT masih berupaya meraih tiga mata penuh dan terus melebarkan cengkaman di tangga teratas Liga Super.

“Saya tidak boleh berbohong yang Terengganu merupakan sebuah pasukan yang mantap dan punyai ramai pemain baik selain kekuatan di bahagian tengah.

“Mereka juga begitu baik semasa situasi memegang bola malah sering kali dapat mencari kombinasi yang dimahukan selain penyerang, Kpah Sherman cukup kuat serta berbahaya.

“Pujian kepada jurulatih Nafuzi Zain dan saya hormat kepada pasukan yang mahu bermain bola sepak dan tidak membuang masa dalam permainan.

“Mereka melawan dengan penuh bermaruah dan kalah 1-2, mereka sangat hampir untuk mendapatkan sesuatu dalam perlawanan ini dan tuah menjadi milik kami.

“Sherman tidak bernasib baik kerana terdapat dua situasi untuk menjaringkan gol selain kami berjaya berada di situ untuk berikan tekanan, di akhirnya kami tahu bagaimana mahu dapatkan tiga mata,” katanya.

Dalam perlawanan itu, JDT yang mendahului dengan jaringan Bergson da Silva pada minit ke-7 dikejutkan dengan gol penyamaan Kpah Sherman, minit 31.

Namun, JDT hanya mengambil dua minit sahaja bagi kembali berada di depan, sekali lagi menerusi Bergson yang menanduk bola hantaran lintang dari Arif Aiman.

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain gembira dengan semangat juang pemain-pemainnya yang telah mempamerkan banyak peningkatan.

“Dari segi persembahan, saya berpuas hati dan berbangga dengan semua pemain kerana tidak membiarkan JDT menang mudah.

“Kedua-dua pasukan telah bermain bola sepak dengan baik dan kami berjaya berikan saingan,semua orang tahu kualiti yang ada pada JDT.

“Di awal perlawanan, pemain tertekan dengan dua gol berpunca kesilapan dari bola hantaran lintang dan pemain cuba untuk bangkit di separuh masa kedua.

“Bukan mudah untuk mencipta peluang apabila berdepan pasukan seperti JDT tetapi kami berjaya mendapatkan beberapa kesempatan cuma kalau dapat peluang, kami kena manfaatkannya,” katanya.

Terengganu setakat ini menjadi satu-satunya pasukan belum meraih mata di Liga Super selepas tewas kepada PJ City FC,0-3 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Rabu lalu.