MIMPI JADI KENYATAAN – BAQIUDDIN

May 19, 2021



“Siapa yang tidak hendak main untuk negeri sendiri, telah lama saya menunggu peluang ini selepas bermain dalam skuad Piala Presiden Pahang sejak tahun 2015, barulah impian saya menjadi kenyataan,” demikian luahan pemain sayap kiri Sri Pahang FC, Muhd Baqiuddin Shamsudin.

Berasal dari Kuala Lipis, Pahang, Baqiuddin yang sudah berumur 27 tahun juga sama sekali tidak menyangka masih ada ruangnya bermain di peringkat tertinggi Liga Malaysia iaitu Liga Super selepas menghabiskan kariernya di Liga Premier selama lima musim.

Namun, pemain bertubuh ‘kecil molek’ yang hanya berketinggian 165 sentimer namun cukup lincah, nyata tidak menunggu lama untuk meraih perhatian majoriti peminat Sri Pahang apabila setakat ini menjadi antara watak utama serangan pasukan dan turut meraih satu jaringan ketika membenam UiTM FC pada aksi ke-11 Liga Super.

“Sebaik berakhir musim lalu dengan UKM FC, saya sendiri tidak menjangka mendapat tawaran dari Sri Pahang dan pihak pengurusan pada waktu itu di bawah Datuk Mohammed Suffian Awang (Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC) ada hubungi saya.

“Sangat terkejut pada mulanya namun bersyukur kerana akhirnya dapat juga bermain di Liga Super malah menambah lagi kegembiraan, menyarung jersi negeri kelahiran.

“Saya tidak mahu membazirkan peluang yang diberikan dan buat masa ini, saya cukup teruja kerana sering kali mendapat peluang untuk diturunkan dan gol pertama saya ketika bertemu UiTM menjadi pembakar motivasi untuk gigih tingkatkan prestasi,” katanya.

Dua musim lalu, Baqiuddin bermain dengan UKM FC selain pernah menyarung jersi PDRM pada 2018 selain Kuantan FA (2017) dan Shahzan Muda (2016).

Satu lagi perkara menarik mengenai Baqiuddin ialah dia sebenarnya merupakan sepupu pemain tengah kebangsaan dan Sri Pahang FC, Nor Azam Azih.

Malah, hubungan mereka berdua sebenarnya amat rapat dari kanak-kanak apabila sering kali bermain bola bersama dan dia tidak menjangka akhirnya mereka kembali dipertemukan di dalam Sri Pahang.

“Azam sebenarnya sepupu saya, iaitu di sebelah ayah dan dia pun sebenarnya berasal dari Kuala Lipis sebelum keluarganya berpindah ke Jengka.

“Kami punyai agak akrab dari kecil dan memang mengenali satu sama lain, jadi apabila dia dapat tahu saya bersama Sri Pahang musim ini, dia menjadi antara orang paling gembira.

“Mungkin perkara itu juga menjadi kelebihan buat kami berdua apabila kembali bersama kerana masing-masing mengetahui corak permainan sesama sendiri di dalam padang..

“Dalam masa sama, saya optimis Sri Pahang akan lakar kebangkitan bagi menjauhi zon penyingkiran melalui kualiti import baharu seperti Manuel Hidalgo yang saya rasakan antara pemain terbaik pernah saya jumpa,” katanya.

Baqiuddin telah melakukan 12 penampilan dalam kesebelasan utama dan hanya dimasukkan sekali sahaja selaku pemain gantian bersama Sri Pahang, musim ini.