MFL VIP BUKTI MFL HARGAI PENYOKONG

March 4, 2019



PETALING JAYA, 4 Mac: Malaysian Football League (MFL) telah bersedia untuk membalas kesetiaan penyokong-penyokong tegar Liga Malaysia dengan memberikan keutamaan kepada kelompok peminat yang sentiasa turun ke stadium.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, penganjur liga negara itu bakal memberikan keutamaan kepada penyokong tegar untuk membeli tiket final jika pasukan kesayangan mereka layak ke pentas akhir.

Jelas Kevin, penyokong-penyokong tempatan hanya perlu muat turun aplikasi MFL dan daftar sebagai MVP MFL jika mereka mahu menikmati keistimewaan yang ditawarkan oleh MFL.

"MFL ingin membuat pengumuman bahawa kami telah melancarkan aplikasi MFL yang sekarang boleh dimuat turun dalam peranti IOS atau Android. 

"Dalam aplikasi itu, penyokong boleh memanfaatkan peluang untuk mendaftar MFL VIP di mana jika seorang penyokong mahu menghadiri perlawanan-perlawanan Liga Malaysia atau Shopee Piala FA Malaysia 2019, mereka akan diberikan keutamaan untuk membeli tiket secara online sekiranya pasukan kesayangan mereka masuk ke pentas final (Shopee Piala FA Malaysia 2019 dan unifi Piala Malaysia 2019).

"Ini bertujuan untuk memberikan keutamaan kepada penyokong yang menghadiri perlawanan-perlawanan Liga Malaysia bagi memastikan bahawa mereka tidak tertinggal sewaktu final dan tidak perlu bersusah payah beratur panjang mendapatkan tiket yang agak terhad ketika waktu final.

"Selalunya apabila kita kemukakan penjualan tiket online, tiket itu habis dengan cepat dan penyokong yang telah menghadiri perlawanan suku akhir, separuh akhir atau sebagainya dan telah membuktikan seorang penyokong setia atau tegar tetapi tidak berpeluang untuk membeli tiket berkenaan.

"Namun dengan adanya aplikasi MFL VIP ini, kita memberikan peluang kepada penyokong yang telah menghadiri sebahagian perlawanan iaitu 70 peratus daripada perlawanan keseluruhan untuk menghadiri final dengan tanpa perlu beratur panjang lagi," katanya dalam majlis undian Shopee Piala FA Malaysia 2019, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kevin mendedahkan senarai kelompok peminat setia ini akan didedahkan secara umum sebelum penjualan tiket final kejohanan seperti Shopee Piala FA Malaysia 2019 bermula.

"Nama-nama mereka akan berada dalam satu senarai utama dan mereka yang akan disenaraikan bersama nombor pengenalan mereka akan diberikan keutamaan tanpa sebarang masalah di mana penjualan tiket itu akan dibuka seminggu sebelum final," tambahnya.