MFL UMUM MALAYSIA AIRLINES SEBAGAI RAKAN PENERBANGAN RASMI LIGA MALAYSIA 2022

March 2, 2022



Malaysia Aviation Group (MAG) dan Malaysian Football League (MFL) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sekali gus mengumumkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, sebagai rakan penerbangan rasminya.  Kerjasama ini menandakan komitmen Malaysia Airlines untuk mewujudkan rasa identiti nasional kolektif dan perpaduan melalui sukan nombor satu negara itu.

Melalui perkongsian ini, Malaysia Airlines akan menyediakan perjalanan yang selamat dan lancar untuk MFL, bagi menyokong aktivitinya, termasuk persidangan tempatan dan antarabangsa, klinik bola sepak, dan pertandingan profesional di bawah pengelolaannya.

Lanjutan daripada komitmennya sebagai rakan penerbangan rasmi untuk MFL – Kumpulan Penerbangan Malaysia itu akan memanfaatkan rangkaian organisasi meluas mereka menerusi pelaksanaan kempen, penjenamaan serta acara bersama dengan Firefly, MASwings, MHholidays dan Enrich.

MoU itu ditandatangani oleh Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, dan Lau Yin May, Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan MAB.  Turut hadir pada majlis itu ialah Dato’ Ab Ghani Hassan, Presiden MFL, dan Kapten Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, yang menyaksikan pemeteraian perjanjian itu.

Bercakap pada majlis menandatangani perjanjian itu, Kapten Izham berkata, “Saya pasti bahawa hubungan simbiotik antara Malaysia Airlines dan MFL ini akan memberi manfaat kepada peminat bola sepak di seluruh negara – menyatukan peminat dengan pasukan kegemaran mereka, terutamanya penyokong dari Malaysia Timur, yang kini boleh menikmati lebih banyak perlawanan yang diadakan di Semenanjung, dan sebaliknya melalui sambungan lancar kami dan peningkatan kekerapan penerbangan.”

Dalam masa yang sama, Encik Stuart Ramalingam berkata: “Perkongsian Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan Malaysia Airlines Berhad melambangkan dua jenama – syarikat penerbangan kebangsaan dan persatuan bola sepak terbesar negara – bersatu untuk meningkatkan taraf dunia bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, selaras dengan agenda negara.

Kami berbesar hati mengalu-alukan syarikat penerbangan kebangsaan kami ke Liga Malaysia. Dengan musim baharu dan perlawanan yang dijadualkan sepanjang tahun ini, ahli persaudaraan bola sepak Malaysia dan peminat yang ingin mengembara ke seluruh negara boleh mengambil kesempatan daripada peningkatan frekuensi Malaysia Airlines, terutamanya dari Sabah dan Sarawak. Penumpang juga boleh menikmati penerbangan Malaysia Airlines yang mempunyai rekod keselamatan cemerlang selaras dengan kempen Fly Confidently, untuk menonton pasukan kegemaran mereka dari dekat. Ini akan memberi banyak rangsangan kepada persaudaraan bola sepak dan kelab selepas pembatalan beberapa perlawanan pramusim tahun ini, disebabkan isu berkaitan COVID-19.”

Pemeteraian MoU ini susulan perkongsian terbaru MAB dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), menunjukkan dedikasi tidak berbelah bahagi syarikat penerbangan itu dalam usaha menyokong pembangunan bakat tempatan dalam bidang sukan bola sepak tanah air.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Malaysia Airlines di www.malaysiaairlines.com.  Daftar untuk menjadi ahli Enrich di www.enrich.malaysiaairlines.com untuk mula memperoleh Enrich Points dan pastikan anda memuat turun Aplikasi Malaysia Airlines untuk mendapatkan promosi terkini dengan mudah di hujung jari anda pada bila-bila masa dan di mana sahaja.