MFL SANGKAL LAPORAN BERITA HARIAN

May 20, 2019



Malaysian Football League (MFL) hari ini menyangkal satu laporan sebuah akhbar tempatan mengenai dakwaan geran tahunan kepada pasukan Liga Malaysia akan diserahkan pada Ogos ini.

""

Buat makluman semua, MFL kini dalam fasa terakhir untuk memutuskan penajaan baharu Liga Malaysia selepas penamatan kontrak dengan Telekom Malaysia (TM) pada 15 Mac lalu dan perkembangan mengenai penajaan baharu ini bakal diumumkan hujung bulan ini.

MFL juga mengesahkan tidak pernah memaklumkan kepada rakan kongsi untuk menyerahkan geran tahunan pada Ogos ini dan jelas laporan yang disiarkan itu tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat tepat.

MFL memiliki unit media yang sentiasa bersedia memberikan maklumat atau mengesahkan sesuatu berita yang ingin dilaporkan dan laporan sebegini langsung tidak membantu kepada usaha MFL mendapatkan penajaan baharu malah boleh memberikan kesan yang negatif. Unit media ini sentiasa berhubung dengan semua aliran media dan memberi respons yang pantas dalam setiap pertanyaan jika ada. 

Justeru motif laporan tidak berasas, mengelirukan atau tidak benar seperti ini amat dipertikaikan dan sudah pasti dilihat mahu memburukkan pihak-pihak tertentu atau mahu mengundang reaksi yang negatif. 

Di sini MFL berharap agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan kenyataan tidak benar yang boleh memberikan imej buruk kepada MFL dan akhirnya boleh memberikan kesan kepada semua pasukan.