MFL MELANTIK PENGERUSI FIB, AB DAN CPTF

January 25, 2021



Malaysian Football League (MFL) mengesahkan pelantikan Pengerusi First Instance Body (FIB), Appeals Body (AB) dan Club Professionalization Task Force (CPTF) berkuatkuasa hari ini.

Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharin dilantik sebagai Pengerusi FIB dibantu ahli-ahli, Dato’ Lee Teck Hua, Abu Hassan Ahmad dan Hussaini Husin.

Manakala Mohamad Yasin Abdullah dilantik sebagai Pengerusi AB dibantu oleh ahlinya, Mohd Zahirullah Mohd Taib.

Sementara itu Dr Wirdati Mohd Radzi dipilih sebagai Pengerusi CPTF dibantu oleh ahli-ahlinya, Mujibburrahman Abd Rashid, Khairul Kamarudin, Siti Khalijah Ibrahim dan Hazrul Hasnie Hashim.

Selaras peralihan unit Pelesenan Kelab dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke MFL sejak 1 Januari lalu, objektif pelantikan Pengerusi FIB ini adalah mendengar dan menilai permohonan lesen kelab yang diterima dan Pengerusi AB bertindak mendengar rayuan dibuat ke atas keputusan FIB.

Sementara itu, Pengerusi CPTF yang merupakan jawatan kuasa baharu yang diperkenalkan pada tahun ini, bertindak menyemak pertukaran atau komposisi pemilik kelab, Ahli Lembaga Pengarah dan pemegang taruh kelab.

CPTF juga menjadi platform pertama buat mana-mana kelab ingin menukarkan status hak milik kelab, Ahli Lembaga Pengarah dan pemegang taruh selain memainkan peranan untuk mengenalpasti dan menggerakkan program serta aktiviti yang bertujuan membangunkan kelab bolasepak profesional ke tahap yang lebih tinggi.