MFL KESAL KENYATAAN DISALAH ERTI STESEN TELEVISYEN TEMPATAN

July 2, 2019



Merujuk kepada artikel menerusi laman web sebuah stesen televisyen tempatan, Malaysian Football League (MFL) ingin tampil membuat penjelasan.

Berdasarkan kenyataan Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil bersempena Final Shopee Piala FA 2019 yang menemukan Perak dan Kedah, 27 Julai depan, beliau hanya menjelaskan keputusan perbincangan mengenai pengelolaan perlawanan itu.

Ketika diajukan soalan berkenaan adakah pengadil import akan membuat penampilan pada perlawanan akhir kejohanan edisi ke-30 itu, Shazli menjelaskan setelah semakan di buat di dalam mesyuarat Final Shopee Piala FA 2019, wakil daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat pemakluman awal akan menggunakan pengadil tempatan.

Keputusan ini diterima oleh pihak MFL serta wakil kedua-dua pasukan iaitu Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar dan Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Shahrul Samsudin yang turut hadir pada mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan akhir hari ini.

Tidak ada sebarang pertikaian timbul memandangkan keputusan memilih pengadil yang bertugas pada final berada di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pengadil FAM.

Namun Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Md Dali Wahid memaklumkan kepada media MFL selepas sidang akhbar itu bahawa keputusan pengadil bagi Final Shopee Piala FA masih belum muktamad dan nama yang diumumkan itu hanya pemakluman awal.

Jelasnya, pihaknya masih lagi berusaha untuk mendapatkan khidmat pengadil import untuk mengadili perlawanan akhir itu nanti.

Kenyataan Dali itu membuktikan bahawa FAM dan MFL sedang bergerak ke arah pengadil profesional dan penggunaan pengadil import antara perkara yang sedang diusahakan bagi meningkatkan mutu pengadilan perlawanan Liga Malaysia.

Bukan itu sahaja, MFL sebelum ini sudah menubuhkan Profesional Match Officials Malaysia (PMOM) iaitu satu badan pengadil bebas yang bakal beroperasi sedikit masa lagi.

Justeru, MFL sangat kecewa dengan artikel yang dilaporkan seperti MFL tiada usaha untuk meningkatkan mutu pengadilan Liga Malaysia dan kesilapan penyampaian mesej seumpama ini masih kerap berlaku dalam media tempatan.

Bagaimanapun, MFL sentiasa menghargai peranan media tetapi dalam masa yang sama berharap media tempatan lebih peka dan arif ketika membawa etika kewartawanan dalam usaha menghasilkan artikel lebih telus serta berwibawa.