MFL KEMUKA SOP KEMASUKAN PENYOKONG KE STADIUM

September 3, 2021



Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar di pejabatnya, di Putrajaya hari ini.

Ini pertemuan pertama Dato’ Ab Ghani dengan Khairy Jamaluddin yang baharu dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada 30 Ogos 2021.

Pada kesempatan itu, Dato’ Ab Ghani telah menyerahkan permohonan mengenai cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) Liga Malaysia 2021 termasuk kebenaran untuk kemasukan semula penyokong yang sudah mengambil dua dos vaksin.

Selain itu Khairy Jamaluddin yang juga mantan Menteri Belia dan Sukan turut diberikan penjelasan berkenaan perkembangan Liga Malaysia 2021 yang sudah bermula sejak 5 Mac 2021 menerusi SOP yang ketat seperti yang ditetapkan olek Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Dato’ Ab Ghani mengucapkan tahniah atas pelantikan Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan baharu serta berterima kasih dengan kesudian beliau meluangkan masa mengadakan perbincangan mengenai perkembangan bola sepak tanah air yang terkesan akibat pandemik COVID-19.